Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

LARIAN AMAL TABUNG KEBAJIKAN PESAKIT HPUSM TINGKAT KESEDARAN, SOKONGAN TERHADAP KEBAJIKAN PESAKIT

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Oktober 2026 – Keperluan pesakit yang berdepan kekangan kewangan, pengangkutan dan keperluan tertentu sepanjang menjalani rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus diberi perhatian menerusi Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM.

Timbalan Pengarah (Klinikal) HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria berkata, sokongan terhadap tabung berkenaan penting bagi membantu pesakit dan keluarga yang turut terkesan apabila berhadapan dengan masalah kesihatan.

"Tanggungjawab sebuah hospital pakar bukan hanya tertumpu kepada penyediaan rawatan dan perkhidmatan kesihatan, sebaliknya turut mengambil kira aspek kebajikan pesakit sepanjang mereka mendapatkan rawatan.

“Terdapat pesakit yang memerlukan rawatan secara berterusan, ada yang berdepan kekangan kewangan dan pengangkutan, serta ada juga yang memerlukan sokongan bagi memenuhi keperluan tertentu sepanjang menjalani rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Larian Amal Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM 2026 semalam yang diadakan bagi mengumpul sokongan masyarakat terhadap usaha kebajikan pesakit.

Menurut Zaidi, Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM diwujudkan sebagai wadah untuk menghimpunkan sumbangan dan sokongan bagi membantu pesakit yang memerlukan, mengikut keperluan dan saluran yang bersesuaian.

“HPUSM amat menghargai setiap sumbangan dan sokongan yang diberikan.

"Bagi pesakit yang sedang melalui kesukaran, bantuan yang mungkin kelihatan kecil kepada sesetengah pihak mampu membawa makna yang besar kepada mereka serta keluarga,” ujarnya lagi.

Tambah Zaidi, Larian Amal Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM 2026 yang menerima penyertaan 500 peserta ini mencerminkan sokongan masyarakat terhadap usaha memperkukuh kebajikan pesakit.

"Setiap penyertaan dalam program ini bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi turut menjadi sebahagian daripada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap cabaran yang dihadapi pesakit dan keluarga mereka.

“Setiap langkah yang diambil pada pagi ini menjadi sebahagian daripada usaha untuk menyokong pesakit yang mungkin sedang melalui satu fasa sukar dalam kehidupan mereka,” jelasnya.

Beliau berharap program berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform memperkenalkan Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM kepada masyarakat, di samping memperluas jaringan sokongan melibatkan hospital, warga USM, komuniti, sektor korporat, agensi kerajaan dan individu.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian) HPUSM, Profesor Dr. Shatriah Ismail dan Pengarah Program Larian Amal Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM 2026, Muhd Radhi Yaacob.

Teks: R. Alia Fazni R. Azmi /Foto: Mohammad Faisal Mohd Afly

  • Created on .
  • Hits: 228