USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 November 2021 - Sebanyak 1,032 keluarga telah mendapat manfaat menginap di Rumah Ronald McDonald (RRM) atau ‘Ronald McDonald House’, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), sepanjang tempoh anak mereka menerima rawatan di wad pediatrik Hospital USM sejak ianya mula beroperasi pada 23 Jun 2019.
RRM merupakan hasil kerjasama strategik pelbagai pihak dalam membantu waris pesakit khususnya golongan terkebawah yang menemani anak mereka menjalani rawatan di wad pediatrik. Ia dilengkapi dengan 18 buah bilik tidur serta ruang makan, ruang istirehat, dapur, bilik dobi, bilik permainan, dan lain-lain kemudahan untuk penghuni selain turut memiliki bilik sensori yang menyediakan peralatan multi deria khas untuk membantu perkembangan kanak-kanak istimewa yang mendapat rawatan di Hospital USM.
Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ‘Ronald McDonald House Charities’ (RMHC) Malaysia kerana memilih USM sebagai lokasi kedua pembinaan RRM selepas penubuhan RRM pertama di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
“RRM membantu memenuhi keperluan keluarga pesakit kategori B40 yang mendapat rawatan di Hospital USM dan dijadikan sebagai tempat persinggahan untuk meringankan beban ibu bapa atau penjaga pesakit kanak-kanak terutamanya pesakit kanser serta pelbagai jenis penyakit lain.
“Saya berharap kemudahan yang disediakan ini dapat meringankan beban keluarga khususnya mereka yang datang dari jauh kerana penginapan di sini hanya dikenakan bayaran sebanyak RM5.00 untuk satu malam," ujarnya.
Tambah Shaiful, RRM Hospital USM juga merupakan satu platform kerjasama yang perlu dikembangkan untuk pelbagai aktiviti kebajikan yang memberi manfaat kepada semua pihak khususnya komuniti di kawasan sekitar Kubang Kerian.
“Pelbagai aktiviti boleh dirancang melibatkan kolaborasi semua pihak seperti RMHC Malaysia, Kampus Kesihatan, Hospital USM, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), selebriti dan lain-lain untuk mengumpul lebih banyak sumbangan atau dana yang akan memberi nilai tambah kepada golongan yang memerlukan,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Pengurus Besar RMHC Malaysia, Mohd Nasri Mohd Nordin, pula berkata, RRM Hospital USM ialah inisiatif Persatuan Kebajikan Ronald McDonald yang disumbangkan kepada masyarakat melalui rakan hospital.
“Hospital USM adalah hospital pengajar yang dipilih berdasarkan kesesakan pesakit kanak-kanak yang mendapatkan rawatan bagi memberi kemudahan kepada penjaga atau peneman mereka menginap tanpa perlu berulang-alik dari kediaman mereka.
“Dengan adanya RRM di Hospital USM ini diharap pelbagai program kesedaran, keraian, majlis sambutan hari lahir dan sebagainya dapat dibuat di samping turut meraikan anak-anak (pesakit) yang menginap di RRM atau anak-anak yatim di kawasan sekitarnya.
“Kolaborasi yang dijalinkan ini diharap dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dengan komuniti setempat selain turut memperkenalkan fungsi dan kemudahan yang ditawarkan RRM Hospital USM,” katanya.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman.