Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

LINK@USM 2026 HUBUNG KEPAKARAN UNIVERSITI, INDUSTRI DAN KOMUNITI JANA IMPAK BERMAKNA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Oktober 2026 – Hari Transformasi Libatsama Industri - Komuniti (LINK@USM) 2026 menjadi wadah strategik Universiti Sains Malaysia (USM) dalam memperkukuh hubungan antara universiti, industri, agensi kerajaan dan komuniti bagi menterjemahkan kepakaran, ilmu serta inovasi kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Profesor Emeritus Dato' Dr. Hassan Said berkata, libatsama universiti dengan pihak luar perlu dibangunkan sebagai satu ekosistem yang saling melengkapi, dengan universiti bukan sahaja menyumbang ilmu, kepakaran dan penyelidikan, malah turut belajar daripada pengalaman, keperluan serta cabaran yang dihadapi rakan strategik.

Menurutnya, peranan universiti kini tidak lagi terhad kepada penghasilan dan penyebaran ilmu, sebaliknya perlu menjadi penghubung antara ilmu, inovasi, bakat dan keperluan sebenar masyarakat serta negara.

“Dalam konteks ini, USM mempunyai kekuatan tersendiri melalui kepakaran yang merentas pelbagai disiplin, kampus dan bidang pengajian yang membolehkan pelbagai perspektif dihimpunkan bagi memahami dan menangani isu serta cabaran secara lebih menyeluruh,” katanya ketika merasmikan LINK@USM 2026 di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

Beliau berkata, semangat ‘We Lead’ sebagai slogan rasmi USM perlu diterjemahkan melalui pendekatan libatsama yang bukan sekadar menerajui, tetapi turut menghubungkan kekuatan, menghimpunkan kepakaran dan membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk bersama-sama menghasilkan penyelesaian serta impak yang bermakna.

“Libatsama yang bermakna tidak berakhir dengan sesuatu program atau pertemuan, sebaliknya memerlukan hubungan yang berterusan, dialog yang konsisten serta saluran yang jelas untuk menterjemahkan pandangan pihak industri dan komuniti kepada tindakan,” ujarnya lagi.

Hassan turut menekankan kepentingan Panel Penasihat Industri dan Komuniti atau ‘Industry and Community Advisory Panel’ (ICAP) di pelbagai pusat pengajian dan pusat kecemerlangan USM, termasuk di Kampus Kesihatan, sebagai mekanisme untuk membawa pandangan, pengalaman dan keperluan pihak luar ke dalam ekosistem universiti secara berterusan.

Selain itu, penglibatan tokoh industri melalui pelantikan ‘CEO Tersohor’ turut menyediakan ruang perkongsian pengalaman kepimpinan, pengetahuan industri serta pandangan strategik yang dapat memperkayakan pembelajaran, membuka jaringan profesional dan membantu universiti memahami perkembangan serta keperluan semasa industri.

Dalam aspek penyelidikan dan inovasi, beliau berkata, USM terus membuka ruang kepada penyelidik untuk membangunkan penyelidikan berasaskan keperluan sebenar melalui geran industri dan komuniti, sekali gus menggalakkan penyelidikan yang mempunyai aplikasi serta nilai kepada industri dan masyarakat.

“Kerjasama yang kita mahu lihat ialah kerjasama yang bermula dengan mengenal pasti masalah, membangunkan penyelesaian dan melaksanakan penyelidikan secara bersama sehingga menghasilkan inovasi, teknologi, produk, perkhidmatan atau pendekatan yang boleh dimanfaatkan oleh pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa mahasiswa perlu diberikan ruang yang lebih luas dalam ekosistem libatsama industri dan komuniti supaya mereka bukan sekadar menjadi penerima ilmu, tetapi turut berpeluang menyumbang idea, perspektif dan kreativiti dalam membentuk kerjasama yang memberi manfaat kepada semua pihak.

“Pendedahan sedemikian dapat membantu mahasiswa menghubungkan ilmu yang dipelajari dengan aplikasi sebenar, selain membina kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, penyelesaian masalah dan jaringan profesional,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, penganjuran LINK@USM 2026 di Kampus Kesihatan merupakan platform penting untuk mengetengahkan kekuatan ekosistem kampus yang merangkumi Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Institut Penyelidikan dalam Perubatan Molekul (INFORMM) serta Hospital Pakar USM (HPUSM).

“Kepelbagaian tersebut menghimpunkan kepakaran dalam bidang pendidikan, penyelidikan, perubatan molekul, perkhidmatan kesihatan dan inovasi yang berpotensi diterjemahkan kepada penyelesaian, teknologi dan pembangunan bakat berdasarkan keperluan sebenar industri serta masyarakat.

“Tema "Memacu Kerjasama, Menjana Impak" amat bertepatan dengan aspirasi LINK@USM yang bermula dengan membentuk hubungan dan memahami keperluan, seterusnya merancang dan melaksanakan kerjasama yang mampu menghasilkan manfaat serta impak yang bermakna,” katanya.

Tambah Shaiful Bahari, jaringan strategik Kampus Kesihatan turut dapat dilihat melalui 57 Memorandum Perjanjian (MoA) dan 36 Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai oleh pusat tanggungjawab di Kampus Kesihatan sepanjang tahun 2025 hingga September 2026.

“Jumlah ini mencerminkan usaha berterusan Kampus Kesihatan dalam membina hubungan dengan pelbagai pihak, di samping kepercayaan yang diberikan oleh rakan strategik terhadap kepakaran dan keupayaan USM.

“Namun, yang lebih penting ialah setiap kerjasama tersebut dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan program, penyelidikan, pembangunan bakat, inovasi dan pelbagai inisiatif yang memberikan nilai kepada semua pihak,” jelasnya.

Pada majlis sama, satu kerjasama strategik antara Kampus Kesihatan USM dan Malvest Group Sdn Bhd turut dimeterai melalui MoU, yang diharap menjadi asas kepada pelaksanaan kerjasama yang lebih tersusun dalam bidang yang dipersetujui.

Menurut Shaiful Bahari, Kampus Kesihatan turut mempunyai kekuatan dalam melaksanakan libatsama bersama komuniti melalui Hab Komuniti Kampus Kesihatan USM yang berperanan menghubungkan kepakaran, sumber dan jaringan universiti dengan keperluan sebenar masyarakat.

“Antara inisiatif yang dinaungi hab tersebut ialah The Advance National Honey Landmark (AnNaHL), Program USM-Merican, Program Inklusif Anak Cemerlang (D’Prince) serta Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya USM-Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (PTOKU USM-MAIK).

“Pelaksanaan pelbagai inisiatif ini mencerminkan komitmen Kampus Kesihatan untuk mendekati komuniti secara lebih inklusif, responsif dan berterusan, di samping memanfaatkan kepakaran serta sumber universiti bagi menghasilkan penyelesaian dan manfaat yang nyata kepada masyarakat,” ujarnya.

Shaiful Bahari berkata, kekuatan libatsama Kampus Kesihatan perlu terus diterjemahkan melalui kerjasama yang memberi nilai tambah kepada bidang kesihatan, khususnya dalam memastikan kepakaran, penyelidikan dan inovasi yang dibangunkan dapat dimanfaatkan oleh pesakit, keluarga dan komuniti.

“Kerjasama antara universiti, industri, agensi kerajaan dan komuniti perlu bergerak melangkaui perkongsian idea kepada pelaksanaan inisiatif yang menghasilkan penyelesaian serta manfaat yang nyata,” katanya.

Beliau berharap LINK@USM 2026 dapat menjadi pemangkin kepada pengembangan jaringan sedia ada dan pembentukan kerjasama baharu yang berterusan antara Kampus Kesihatan dengan pelbagai pihak berkepentingan.

Penganjuran LINK@USM 2026 turut menghimpunkan warga universiti bersama rakan strategik daripada industri, agensi kerajaan dan komuniti dalam usaha meneroka peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembangunan bakat, inovasi dan penyelesaian berasaskan keperluan sebenar di lapangan.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Unit Fotografi UKAST

  • Created on .
  • Hits: 218