Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

MAKMAL GIFM HOSPITAL USM: PERTAMA DI MALAYSIA TAWAR UJIAN MANOMETRI KOLON DAN ‘MUCOSAL IMPEDANCE’  

 

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Mei 2023 – Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) mengorak langkah ke hadapan dengan memperkenalkan Makmal Fungsi Gastrousus dan Motiliti (GiFM) yang merupakan satu-satunya makmal di Malaysia yang mempunyai peralatan lengkap diagnostik motiliti serta menawarkan dua (2) prosedur ujian iaitu ujian manometri kolon dan ‘mucosal impedance’ bagi mengenal pasti penyakit fungsian saraf dan otot usus.

a7b45c6d 7043 489d 98e8 f3eb1c165488
 
Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman berkata, pelbagai ujian diagnostik lain turut ditawarkan oleh makmal ini antaranya ujian manometri esofagus dan anorektal, ujian pH-impedance, ujian pernafasan hidrogen dan lain-lain.
 
“Makmal GiFM ditadbir sepenuhnya oleh Unit GiFM yang ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2016. Selain perkhidmatan klinikal, unit ini juga terlibat dalam bidang pengajaran dan penyelidikan. 
 
58f9d311 c49f 43ea ae34 489d7a90500a
 
“Unit ini telah menerima geran penyelidikan melebihi RM2 juta dalam usaha mengkaji dan menyelidik penyakit berkait fungsian perut dan usus,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Perasmian Makmal GiFM, hari ini.
 
Tambah Nik Hisamuddin, penyakit fungsian perut dan usus adalah antara penyakit yang paling kerap berlaku di Malaysia. 
 
8f694473 b526 4c4b bc6c b39ff58c228a
 
“Penyakit tersebut bukan sahaja menyebabkan kesakitan di perut tetapi juga mengganggu kualiti hidup.
 
“Antara penyebab utama penyakit ini adalah gangguan ‘motiliti’ iaitu fungsian saraf dan otot di usus. 
 
077cd99b 1e4f 4fc8 9822 1a99e773b6b3
 
“Tanpa peralatan diagnostik motiliti, adalah amat sukar untuk mengenal pasti penyakit fungsian saraf dan otot usus,” jelasnya lagi.
 
Menurut Nik Hisamuddin, di Malaysia, hanya beberapa buah hospital sahaja mempunyai peralatan tersebut dan tiada hospital yang memiliki peralatan lengkap kecuali Hospital USM.
 
9929ecc1 06dc 42a7 8794 ae40d5b495ba
 
“Ujian dan rawatan penyakit motiliti telah ditawarkan di Hospital USM sejak tahun 2013 lagi.
 
“Sehingga kini, sebanyak 2,105 pesakit termasuk pesakit-pesakit rujukan dari luar negeri Kelantan menerima manfaat peralatan dengan kepakaran 11 orang pakar bidang gastrousus terlatih termasuk tiga (3) dari luar negara yang terdapat di Hospital USM,” ujarnya.
 
4e22fa5f 1006 4bec 997c 2c3e77e4e759
 
Nik Hisamuddin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pengurusan tertinggi USM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang meluluskan peruntukan pembelian peralatan tersebut melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
 
2eb5c1a7 dba4 42de b871 44d708980c25
 
“Saya juga berharap agar perkhidmatan Makmal GiFM dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada semua pesakit dan masyarakat khususnya di negeri Kelantan dan Malaysia amnya,” katanya.
 
Turut hadir ialah Ketua Unit Endoskopi, Jabatan Surgeri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM, Profesor Madya Dr. Syed Hassan Syed Abd Aziz dan Ketua Unit GiFM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis, Profesor Dr. Lee Yeong Yeh.
 
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
  • Created on .
  • Hits: 265