Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

MAULIDUR RASUL 1448H SEMAI NILAI AKHLAK DAN KEMANUSIAAN WARGA KAMPUS KESIHATAN USM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 September 2026 – Sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah/2026 Masihi Peringkat Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi wadah untuk menyemarakkan penghayatan terhadap sirah, sunnah dan akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan serta pelaksanaan tugas warga kampus.

Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) USM, Profesor Dr. Norhayati Luddin yang mewakili Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM ketika merasmikan sambutan tersebut berkata, kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu diterjemahkan melalui akhlak dan amalan dalam kehidupan seharian, termasuk dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai warga institusi pendidikan dan kesihatan.

“Cinta kepada Rasulullah SAW tidak sepatutnya terhenti pada ungkapan semata-mata, tetapi perlu diterjemahkan melalui akhlak, amalan dan cara kita berinteraksi sesama manusia dalam kehidupan seharian.

“Jika kita benar-benar mencintai Rasulullah SAW, kita akan berusaha mencontohi akhlak Baginda, mengikuti sunnahnya serta menyebarkan kasih sayang dan kebaikan kepada masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, warga Kampus Kesihatan perlu menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan dalam membentuk peribadi yang bukan sahaja tinggi dari segi ilmu dan kemahiran, malah mempunyai nilai empati, kemanusiaan dan keprihatinan terhadap orang lain.

“Kita mahu melahirkan warga Kampus Kesihatan yang bukan sahaja tinggi ilmunya, tetapi tinggi akhlaknya. Bukan sahaja cekap memberikan rawatan, tetapi mempunyai empati. Bukan sahaja profesional dalam melaksanakan tugas, tetapi mempunyai nilai kemanusiaan.

“Kita mahu membina sebuah kampus yang unggul dalam pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan kesihatan, di samping subur dengan nilai Islam, kerohanian dan akhlak,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, penghayatan terhadap sunnah Rasulullah SAW turut dizahirkan melalui pelaksanaan amalan tahnik sempena bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW, termasuk Majlis Tahnik bersama Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Wad 2 Topaz pada hari ini serta Majlis Tahnik Perdana di Masjid Kampus Kesihatan USM pada hari Jumaat.

“Pelaksanaan tahnik dalam konteks Kampus Kesihatan memberikan satu mesej yang jelas bahawa Islam dan ilmu kesihatan bukan dua (2) perkara yang terpisah,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelbagai aktiviti pendidikan dan kerohanian turut dirancang sepanjang sambutan Maulidur Rasul tahun ini bagi memberi ruang kepada warga kampus mendalami sirah dan sunnah Rasulullah SAW.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk Langkah Mahabbah Jiwa Merdeka pada 3 September 2026, Ceramah Khas Maulidur Rasul di Masjid Kampus Kesihatan USM serta ‘podcast’ Syamail Muhammadiah.

Selain itu, penglibatan generasi muda turut diberi perhatian menerusi Pertandingan Kuiz Maulidur Rasul, Pertandingan Bercerita Kanak-kanak, Pertandingan Poster dan Pertandingan Video Pendek yang menjadi medium pendidikan dan penyampaian mesej kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Norhayati turut menyeru warga Kampus Kesihatan USM supaya bersama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti keagamaan dan menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai usaha bersama seluruh warga kampus.

“Saya berharap agar lebih ramai warga kampus berpeluang menghayati sirah, sunnah dan akhlak Rasulullah SAW, sekali gus membentuk persekitaran kampus yang subur dengan nilai Islam, akhlak dan kerohanian.

“Kecemerlangan sesebuah institusi bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, teknologi atau kemudahan yang dimiliki, tetapi turut bergantung pada nilai dan akhlak yang ditampilkan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Pesakit akan mengingati cara kita menyantuni mereka, pelajar akan mengingati cara kita mendidik mereka dan rakan sekerja akan mengingati cara kita menghormati mereka,” katanya lagi.

Beliau turut mengajak seluruh warga kampus menjadikan sambutan Maulidur Rasul tahun ini sebagai titik perubahan untuk meningkatkan penghayatan terhadap sirah dan sunnah Rasulullah SAW serta menterjemahkan kecintaan kepada Baginda melalui amalan dan akhlak dalam kehidupan.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM, Profesor Dr. Hamid Jan Jan Mohamed; Timbalan Pengarah (Digital), Hospital Pakar USM (HPUSM), Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar dan Timbalan Pengarah, Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, Ustazah Amira Abd Sattar dan Pengerusi Jawatankuasa Hari Kebesaran Islam Kampus Kesihatan USM, Dr. Marzuki Omar.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto:Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 154