Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

MAULIDUR RASUL BAWA HIKMAH NABI JUNJUNGAN MENJADI IBRAH

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Oktober 2021 - Rasulullah S.A.W. merupakan seorang pemimpin yang menjadi contoh teladan seluruh umat islam di muka bumi ini. Tarikh keramat 12 Rabiulawal sentiasa menjadi ingatan bila mana selawat dan salam kepada junjungan besar meniti di bibir dan menjadi halwa telinga lebih daripada kebiasaan.

Begitulah istimewanya figura yang menjadi kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Bagi umat islam, Baginda merupakan contoh yang paling unggul untuk diteladani kerana akhlak, kepimpinan dan kewibawaan Baginda tiada tolok bandingnya.

Biarpun masih dalam fasa pemulihan akibat penularan wabak COVID-19 yang melanda, namun Rabiulawal tetap diimarahkan sebagai tanda mengingati bulan istimewa kelahiran Baginda Rasulullah S.A.W.

SAVE 20211026 143011

Sambutan Maulidur Rasul peringkat Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) 2021/1443H disambut sederhana menerusi platform webex dan dirasmikan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, hari ini.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengajak seluruh warga kampus untuk sama-sama muhasabah diri dengan menjadikan Rasulullah S.A.W. sebagai idola yang telah terbukti keelokan Baginda dari segala aspek kehidupan.

"Walau siapapun kita, sama ada pemimpin masyarakat, golongan profesional, pentadbir malah seluruh umat islam perlu berusaha memiliki sifat dan nilai-nilai murni yang ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W.

"Bagi memastikan kecemerlangan dan reputasi Universiti sentiasa terjaga, perancangan yang mampan, perundingan serta pelaksanaan yang tersusun dan bersungguh-bersungguh perlu diterapkan dalam diri seluruh warga kampus kerana segala harapan dan cita-cita mestilah disertai dengan usaha dan ikhtiar," ujarnya.

SAVE 20211026 170731

Tambah Shaiful, matlamat untuk mencapai kecemerlangan dalam kerja dan tugas harian perlu menjadi keutamaan setiap individu bertunjangkan sifat amanah dan integriti berlandaskan Al-Quran dan Sunnah yang baginda tinggalkan sebagai panduan.

Sambutan dengan pembudayaan norma baharu ini turut diisi dengan perkongsian ilmu menerusi Forum Perdana Maal Hijrah dengan tajuk 'SunnahMu Amalanku, AkhlakMu Panutanku' bersama Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Tengkawang, Kuala Berang, Dr. Suhazeli Abdullah dan Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Ustaz Mohd Hafiz Mat Sulaiman serta Timbalan Dekan Penyelidikan Siswazah Latihan Ikhtisas, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) selaku moderator, Profesor Dr. Irfan Mohamad.

Majlis anjuran Pusat Islam Kampus Kesihatan ini turut disertai oleh Pemangku Timbalan Pengarah (Ketua Pentadbiran), Pusat Islam, Ustazah Amira Abdul Sattar @ Ismail dan Pemangku Timbalan Pengarah (Ketua Perihal Pengurusan Masjid), Pusat Islam, Ustaz Rosdian Hassan.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto:  Abdul Hasib Abd Rahman

  • Created on .
  • Hits: 197