MENARA ILMU BERKUMANDANG DI ARENA FUTSAL FAM
KELANA JAYA, SELANGOR, 20 Julai 2025 – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu? Begitulah perumpamaan paling tepat menggambarkan kejayaan manis pasukan futsal USMKK FC yang dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) Divisyen 2 2025 pada penampilan sulung mereka dalam saingan anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu.
Dalam aksi terakhir liga yang berlangsung di Arena Futsal FAM petang tadi, USMKK FC menutup kempen musim ini dengan keputusan seri 6-6 menentang PFA Odin Sarawak FC. Keputusan itu telah cukup untuk menobatkan USMKK FC sebagai juara dengan pungutan 26 mata, meninggalkan pencabar terdekat Terengganu dengan perbezaan satu (1) mata.
Selaku juara MPFL Divisyen 2, USMKK FC menerima piala pusingan, wang tunai RM25,000 serta slot automatik ke Malaysia Futsal Cup (MFC) yang bakal membuka tirai tidak lama lagi dan bersaing dengan pasukan-pasukan yang lebih handal dari divisyen utama negara.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, menyifatkan kejayaan ini sebagai detik bersejarah buat universiti dan hasil komitmen seluruh warga kampus.
“Ini bukan sekadar kejayaan sukan, tetapi lambang semangat berpasukan, dedikasi dan disiplin yang tinggi oleh pemain serta pengurusan USMKK FC seterusnya membuktikan bahawa institusi ilmu juga mampu menggegar arena sukan negara.
“USM sentiasa menyokong pembangunan pelajar dan staf bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam sukan dan kepimpinan.
Kejayaan ini membakar semangat seluruh warga USM untuk terus cemerlang di pelbagai peringkat," katanya yang turut menyaksikan perlawanan terakhir, hari ini.
Sementara itu, Pengurus Pasukan USMKK FC, Hafiz Assad Zakaria, pula berkata, beliau sangat syukur dan bangga terhadap pencapaian luar biasa ini.
“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras, disiplin dan semangat juang pemain yang tidak pernah luntur sejak hari pertama liga bermula.
"Kami bukan sekadar mahu bertanding sebaliknya kami datang dengan misi dan visi yang jelas untuk mencipta sejarah buat USM.
"Saya dedikasikan kemenangan ini kepada seluruh keluarga besar USM, pensyarah, staf, pelajar, alumni dan semua penyokong yang menjadi nadi kekuatan kami. Ini bukan penamat, tetapi permulaan baharu untuk cabaran yang lebih besar di Divisyen 1 dan MFC nanti," ujar beliau.
Turut hadir memberi sokongan pada perlawanan terakhir ini ialah Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub; Pendaftar USM merangkap Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Mohd Azizudin Mohd Shariff; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim; Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan, Noor Hayati Mohammad; ahli-ahli jawatankuasa eksekutif FAM serta ratusan penyokong setia yang hadir dari Kota Bharu dan Pulau Pinang, menjadikan suasana di Wisma FAM begitu meriah dengan sorakan.
Teks: Amyrulhan Azhari & Muhamad Iqbal Bashah Ahmad Bashah Ruddin / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 500