Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

MERDEKA DAN HIJRAH BINA NEGARA AMAN DAN MAKMUR

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 September 2021 – Tanggal satu Muharam setiap tahun mengingatkan umat Islam tentang peristiwa penting penghijrahan Rasulllah SAW dan para sahabat baginda dari Mekah ke Madinah.


Menurut Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben Agil, bermula dari tarikh itu berlakulah perkembangan dan penyebaran dakwah islamiah dengan lebih sistematik dan teratur.

SAVE 20210909 103522


“Hijrah bukan sahaja membawa maksud perpindahan ke arah kehidupan yang lebih baik, tetapi hijrah juga memberi pengertian yang lebih luas dalam kehidupan seseorang.

“Setiap kali peristiwa agung Hijrah ini disebut, ia seharusnya boleh membangkitkan kesedaran dalam diri umat Islam bahawa tidak ada sesuatu yang lebih berharga dari melaksanakan tanggungjawab untuk memerdekakan umat dan bangsa dari belenggu penghambaan," ujarnya ketika menyampaikan ceramah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1443H Peringkat Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Tambah Syed Shahridzan, walaupun Rasulullah SAW dan para sahabat menghadapi segala ancaman dan cabaran, mereka tetap bertaqwa dan beriman kepada Allah SWT.

“Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah bukan suatu kebetulan dan tanpa berfikir, tetapi dengan perancangan teratur dan langkah tersusun bagi memastikan matlamatnya tercapai.

"Selain itu, Nabi Muhammad SAW turut memberikan tunjuk ajar kepada umat baginda agar membuat perancangan secukupnya dengan langkah tepat dalam pelaksanaan sesuatu tugasan," jelasnya lagi.

Permulaan Tahun Baru Hijrah adalah detik yang bermakna bagi memperingati peristiwa besar hijrah Rasulullah SAW dari Tanah Haram Makkah Mukarramah ke Kota Madinah Munawwarah. Penghijrahan dengan segala pengorbanan jiwa, harta dan tanah air tercinta menjadi titik tolak perubahan dan pemangkin
penyebaran syiar Islam ke serata alam.

Syed Shahridzan berkata, justeru itu, menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskan kesinambungan perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW dan sahabat dengan memberikan sumbangan dan khidmat bakti kepada ummah dalam apa jua kemampuan yang ada.

“Sesungguhnya syiar Islam tertegak di atas kesediaan umatnya untuk berkorban menyumbang khidmat bakti dalam melaksanakan tugasan dakwah.

"Perpindahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah bukanlah semata-mata untuk lari daripada tekanan Quraisy dan musyrikin Makkah, namun ia bertujuan untuk mencari tempat baharu supaya Islam dapat berkembang terus menerus secepat mungkin," jelasnya.

Beliau berkata, setiap kali peristiwa agung hijrah ini berlaku ia seharusnya membangkitkan kesedaran kepada umat Islam bahawa tidak ada sesuatu yang lebih berharga dari melaksanakan tangungjawab untuk memerdekakan umat dan bangsa dari belenggu penghambaan.

“Merdeka juga adalah bebas daripada menjadi hamba kepada penjajahan sama ada penjajahan fizikal ataupun jiwa dan ia memerlukan pengorbanan, perjuangan, persaudaraan dan pembentukan perpaduan,” ulas beliau lanjut.

Syed Shahridzan turut berharap agar umat Islam mengambil iktibar daripada sejarah hijrah dan kemerdekaan pejuang-pejuang dahulu untuk diri dan negara pada hari ini serta hari-hari seterusnya.

Teks: Anawiah Abdul Aziz

  • Created on .
  • Hits: 395