'MILES FOR CLEFT' 2026: LANGKAH KECIL, IMPAK BESAR BUAT PESAKIT KLEF BIBIR DAN LELANGIT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Jun 2026 – Dianggarkan antara 800 hingga 1,000 bayi di Malaysia dilahirkan dengan bibir dan lelangit sumbing setiap tahun, bersamaan kira-kira satu (1) kes bagi setiap 700 kelahiran hidup.

Menyedari hakikat itu, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Persatuan Sains Pergigian (PSG) mengambil inisiatif menganjurkan program larian amal 'Miles for Cleft' 2026 bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pesakit klef bibir dan lelangit serta menggalakkan sokongan berterusan kepada golongan tersebut.

Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail, penganjuran 'Miles for Cleft' 2026 mencerminkan komitmen berterusan USM bersama pelbagai pihak dalam memperkukuh kesedaran awam serta menyokong usaha membantu pesakit klef bibir dan lelangit menjalani kehidupan yang lebih berkualiti.
"Ia merupakan platform terbaik untuk mendidik masyarakat, mengumpul dana serta memperkukuh jaringan sokongan bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan yang diperlukan.

“Setiap langkah yang diambil oleh para peserta hari ini membawa makna yang besar kerana di sebaliknya tersimpan harapan untuk mengubah kehidupan seseorang ke arah yang lebih baik,” katanya ketika merasmikan program tersebut, hari ini.
Tambah beliau, USM sentiasa komited dalam menyokong pelbagai inisiatif yang memberi impak positif kepada komuniti.

“Penganjuran program seperti ini amat bertepatan dengan aspirasi universiti untuk melahirkan warga yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu dan kemahiran, malah memiliki nilai ihsan, empati serta tanggungjawab sosial yang tinggi.
“Penglibatan masyarakat dalam program kebajikan dan kesihatan awam seperti ini merupakan antara usaha penting ke arah membina komuniti yang lebih inklusif, prihatin dan sejahtera,” ujarnya lagi.

Jelas Shaiful, dana yang dikumpulkan melalui program ini akan dimanfaatkan untuk menyokong pelbagai keperluan berkaitan rawatan, pemulihan dan kebajikan pesakit klef bibir dan lelangit.
“Inisiatif seperti ini amat bermakna kerana ia dapat membantu meringankan beban keluarga yang terlibat, di samping memastikan pesakit mendapat akses kepada rawatan yang sewajarnya.

"Saya amat berharap agar program 'Miles for Cleft' 2026 bukan sahaja berjaya mencapai sasaran kutipan dana yang ditetapkan, malah menjadi platform berterusan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengesanan dan intervensi awal, rawatan berterusan serta sokongan psikososial yang komprehensif kepada pesakit klef bibir dan lelangit,” katanya.

Hampir 200 orang peserta hadir memeriahkan program larian amal 'Miles for Cleft' 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan 2, Kampus Kesihatan USM.

Turut hadir ialah Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa), PPSG USM, Profesor Madya Dr. Nik Rozainah Nik Abdul Ghani; Setiausaha Zon Utara Malaysian Dental Association (MDA), Dr. Lim Yu Xiang; Pengerusi Cleft Lip and Palate Association Malaysia (CLAPAM), Zainal Azhar Ahmad; Pengerusi Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Hospital Pakar USM, Dr. Ahmad Zafrullah Afham Ahmad Fikri dan Penasihat Persatuan Sains Pergigian, Dr. Rosmaliza Ramli.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 349