Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

MiST RM1.66 JUTA TAMPIL SEBAGAI PUSAT LATIHAN MIKROSURGERI PERTAMA SEUMPAMANYA DI IPTA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 September 2026 – Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) memperkenalkan Microsurgical Skills Training Centre (MiST) sebagai pusat latihan mikrosurgeri berasaskan simulasi dengan peruntukan RM1.66 juta bagi menyokong pendidikan dan latihan kepakaran perubatan.

MiST yang ditempatkan di Pusat Integrasi Simulasi Klinikal (i-CSC) PPSP itu dilengkapi 10 stesen latihan berasaskan persekitaran dewan bedah, dengan setiap unit mempunyai mikroskop, meja pembedahan, mesin pembedahan serta peralatan yang digunakan dalam prosedur pembedahan.

Kemudahan tersebut turut melibatkan kerja-kerja pengubahsuaian dan penaiktarafan bagi menyediakan persekitaran latihan mikrosurgeri yang menyokong keperluan pendidikan dan latihan kepakaran perubatan secara sistematik dan selamat.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, penubuhan MiST mencerminkan usaha PPSP menyediakan kemudahan latihan kemahiran mikrosurgeri yang menjadi salah satu komponen penting dalam pendidikan dan latihan kepakaran perubatan.

“Pendekatan berasaskan simulasi amat penting dalam memastikan kemahiran pembedahan dapat dipelajari dan dikuasai secara sistematik, berstruktur dan selamat sebelum diaplikasikan dalam prosedur pembedahan sebenar,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian MiST, hari ini.

Menurut Abdul Rahman, MiST merupakan pusat latihan mikrosurgeri yang komprehensif dan lengkap serta yang pertama seumpamanya di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia.

“Skop latihan yang disediakan juga amat luas, merangkumi pelbagai bidang kepakaran seperti Oftalmologi, Ortopedik, Pembedahan Rekonstruktif, Surgeri, Otorinolaringologi, Kepala dan Leher, Neurosurgeri serta Obstetrik dan Ginekologi.

“Dengan kemudahan serta teknologi yang tersedia, termasuk rangkaian internet dan peranti sokongan, MiST mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai salah satu pusat rujukan latihan mikrosurgeri di peringkat kebangsaan dan seterusnya diperkenalkan di peringkat antarabangsa.

“Penubuhan MiST memberi nilai tambah kepada latihan kepakaran di USM dalam usaha melahirkan graduan Sarjana Perubatan dan pakar yang kompeten, berintegriti serta sentiasa mengutamakan keselamatan pesakit,” ujarnya lagi.

Tambah Abdul Rahman, MiST juga diharap dapat berkembang sebagai pemangkin kepada pembangunan modal insan berkualiti dalam bidang perubatan, selain menyokong budaya pembelajaran sepanjang hayat serta memperluas aktiviti penyelidikan dan inovasi.

“Pusat ini juga diharap dapat membuka lebih banyak ruang kepada perkongsian kepakaran, pemindahan ilmu dan kolaborasi strategik selaras dengan keperluan semasa bidang perubatan serta aspirasi USM untuk terus menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik, khususnya Alcon Laboratories (M) Sdn. Bhd. serta para alumni USM atas sokongan melalui sumbangan masa, tenaga, kepakaran dan pengalaman dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

“Komitmen ini mencerminkan hubungan berterusan antara universiti, industri dan alumni dalam menyokong pembangunan generasi profesional masa hadapan,” jelasnya lagi.

Turut hadir ialah Pengarah Hospital Pakar USM, Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani; Dekan PPSP, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Timbalan-timbalan Dekan PPSP, Timbalan-timbalan Pengarah Hospital Pakar USM serta Timbalan Penyelaras i-CSC PPSP USM, Dr. Wan Zainira Wan Zain.

Teks: Siti Sri Mas Ismail / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 172