MoU USM - BAT RANCANG PENGEMBANGAN PENDIDIKAN DAN PENYELIDIKAN RENTAS BIDANG DUA NEGARA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Julai 2024 - Universiti Sains Malaysia (USM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak Bukhara Avicenna Texnikumi (BAT), Uzbekistan, hari ini, ke arah pemantapan program-program akademik dan penyelidikan melalui kerjasama strategik yang dijalin dengan institusi akademik luar negara itu.
Kerjasama ini diharap dapat mewujudkan dan memperluaskan lagi peluang dalam bidang berkenaan yang memberi manfaat kepada kedua- dua belah pihak.
Majlis penandatanganan MoU tersebut disempurnakan oleh Pengarah, Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Profesor Madya Dr. Aziah Ismail mewakili Naib Canselor USM dan Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Profesor Madya Dr. Mohd Fadhli Khamis bagi pihak USM dan BAT diwakili oleh Pengerusinya, Pavan Abraham dan Pengarah BAT, Dr. Mansing Pawar.
Menurut Aziah, dengan terjalinnya kerjasama ini, USM dan BAT dapat bertukar pandangan dalam kepakaran masing-masing dan ia memberi nilai tambah terhadap kedua belah pihak.
"Kolaborasi ini dilihat dapat membuka peluang yang lebih cerah antara kedua pihak melalui kepakaran dalam bidang penyelidikan dan akademik terutama yang menjurus kepada sains dan perubatan.
"Jadi, asasnya adalah untuk menambah lagi kerjasama secara penyelidikan dan program akademik supaya dapat melahirkan pakar yang diperlukan dipasaran kerja dan juga memberi impak yang besar kepada dunia secara global suatu hari nanti,” katanya ketika berucap pada majlis itu, hari ini.
Jelas Aziah, USM mengambil peluang menjalin kerjasama dengan BAT bagi meluaskan perkongsian yang bermanfaat untuk memacu imej USM di pentas dunia kelak.
Sementara itu, Pavan Abraham dalam ucapannya pula berkata, pihaknya amat terharu di atas kerjasama ini dan berharap kolaborasi antara kedua- dua pihak akan diteruskan dalam jangka masa lebih lama bagi tujuan penambahbaikan serta ilmu baharu khususnya dalam bidang pergigian.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri Komuniti, PPSG USM, Profesor Madya Dr. Suharni Mohamad; Timbalan Dekan Pascasiswazah dan Antarabangsa, PPSG USM, Profesor Madya Dr. Yanti Johari dan Koordinator MoU antara USM dan Bukhara Avicenna Texnikumi, Profesor Madya, Dr. Wan Nazatul Shima Shahidan.
Teks: Rosalwani Che Soh@Yusoff/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 306