MPP SERU SEMANGAT HEBATKAN DIRI SEBAGAI MAHASISWA USM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Oktober 2023 – “Menjadi insan yang terbaik bukanlah sesuatu yang mudah. Kalau dayung sayang dibasah, tidak sampai kita ke seberang. Kalau kalian cepat mengalah, nanah menjadi barah, langkah semakin punah, hanya mampu pasrah.
“Maka untuk mencapai satu kejayaan, janganlah sesekali kita ingin memeluk gunung kerana tangan tidak akan sampai, jangan pula kalian duduk termenung kerana cita-cita tidak akan tercapai,” demikian kata Naib Yang Dipertua III, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Wan Hafiz Irshad Wan Mohd Zuhdi.
Beliau menyeru para pelajar baharu di Kampus Kesihatan USM bagi Sidang Akademik 2023/2024 menjadi mahasiswa HEBAT.
“Daripada puluhan ribu yang memohon untuk melanjutkan pengajian di USM, kalian adalah kelompok kecil yang terpilih untuk bergelar mahasiswa USM dan saya yakin kalian semua mempunyai ciri-ciri mahasiswa HEBAT yang diperlukan USM.
“HEBAT bermaksud 'Holistik' (Holistik), 'Entrepreneurial' (Keusahawanan), 'Balanced' (Seimbang), 'Articulate' (Kepetahan) dan 'Thinker' (Pemikir).
“Marilah sama-sama kita berganding bahu berjuang di menara gading ini membuktikan kita juga memiliki ciri-ciri tersebut untuk bergelar graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Sambutan Siswa di hadapan lebih 500 orang pelajar baharu Kampus Kesihatan dan pengurusan tertinggi USM.
Tambah Wan Hafiz Irshad, USM bukanlah universiti yang biasa-biasa.
“Dengan ketokohan dan kehebatan yang ada pada Naib Canselor walaupun baru sahaja dilantik mengemudi USM tidak sampai setahun, kedudukan USM terus melonjak daripada universiti ke-4 kepada universiti ke-2 di Malaysia.
“Saya percaya dengan semangat dan iltizam yang ada pada kita semua digandingkan dengan kehebatan lanskap kepimpinan Naib Canselor, USM boleh terus melonjak menjadi universiti terbaik dan nombor satu (1) di Malaysia,” jelasnya lagi.
Pada majlis yang sama, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Abdul Rahman Mohamed turut menyampaikan amanat kepada pelajar baharu termasuk penerangan mengenai kerangka Universiti APEX.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 418