Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

NAIB CANSELOR RASMI SEMINAR ANTARABANGSA KOLABORASI TIGA UNIVERSITI SEMPENA HARI PENDENGARAN SEDUNIA 2022

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Mac 2022 - Bersempena sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2022 pada bulan Mac, Program Audiologi Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Klinik Audiologi Hospital USM menganjurkan webinar percuma hasil kolaborasi antarabangsa bersama Universitas Gadjah Mada (UGM), Indonesia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertajuk ‘Hearing Care Across The Lifespan and Educational: Malaysian and Indonesia Perspectives’. 

 
Webinar yang julung kali dianjurkan ini berjaya menghimpunkan sembilan (9) orang penceramah daripada tiga universiti untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan dan amalan berasaskan bukti dalam bidang audiologi, psikologi dan pendidikan kanak-kanak bermasalah pendengaran. 
 
SAVE 20220317 164725
 
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dalam ucapannya berkata, Hari Pendengaran Sedunia yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ini adalah salah satu strategi untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendengaran yang baik, pencegahan, pengesanan awal dan rawatan yang betul terhadap masalah pendengaran. 
 
“Mengikut data yang dikeluarkan oleh WHO, satu (1) daripada lima (5) orang mengalami kesukaran akibat daripada masalah pendengaran. Malah, menjelang tahun 2050, dianggarkan satu (1) daripada empat (4) orang di seluruh dunia akan mengalami masalah pendengaran. 
 
“Oleh itu, masalah pendengaran tidak boleh dianggap ringan dan jika tidak dirawat, ia akan memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan, kualiti hidup, fungsi psikososial dan pendidikan,” katanya. 
 
SAVE 20220317 164739
 
Menurut Faisal Rafiq, USM turut mengambil inisiatif dalam penjagaan kesihatan pendengaran dengan menubuhkan Program Audiologi di bawah PPSK pada tahun 2005 dan mula melahirkan graduan audiologi yang bertauliah bermula tahun 2009. 
 
“Kesemua audiologis ini menerima latihan klinikal yang intensif bukan sahaja di PPSK tetapi daripada audiologis yang berpengalaman di Klinik Audiologi, Hospital USM. 
 
“PPSK turut memberi sumbangan sebanyak hampir RM25,000 untuk memastikan kelestarian Klinik Audiologi dengan memperkasakan teleaudiologi bagi memberi perkhidmatan kepada pelajar dan pesakit dalam menangani cabaran era pandemik COVID-19,” jelasnya lagi. 
 
Faisal Rafiq berharap agar program kolaborasi seperti itu dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.  Sesungguhnya, program ini menyediakan platform yang bermanfaat dalam berkongsi ilmu akademik, industri serta memberi kesedaran kepada masyarakat awam berkaitan kesihatan pendengaran bukan hanya di Malaysia malahan juga kepada masyarakat di Indonesia. 
 
Mengakhiri ucapannya, Faisal Rafiq menzahirkan penghargaan kepada jawatankuasa kerja program yang terdiri daripada Program Audiologi, Pusat Pengajian Sains Kesihatan dan Klinik Audiologi, Universiti Sains Malaysia, Fakulti Psikologi, Universitas Gadjah Mada, Indonesia dan Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris serta barisan penceramah yang membincangkan tentang penjagaan pendengaran merentasi jangka hayat dan pendidikan terutamanya untuk kanak-kanak. 
 
Teks: Mohamad Iqmal Mathlan
  • Created on .
  • Hits: 173