Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

ORKA 2025/2026 PERKUKUH BUDAYA SUKAN DAN GAYA HIDUP SIHAT WARGA KAMPUS KESIHATAN USM

KOTA BHARU, KELANTAN, 11 Januari 2026 – Kejohanan Olahraga Kampus Kesihatan (ORKA) 2025/2026 terus membuktikan peranannya sebagai platform penting dalam memperkukuh pembudayaan sukan dan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

1000215502

Kejohanan yang berlangsung dengan jayanya itu melibatkan penyertaan seramai lebih 103 orang atlet daripada pelbagai pusat pengajian dan jabatan, yang bertanding dalam 15 acara olahraga merangkumi acara balapan dan padang.

1000215510

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Penganjur ORKA 2025/2026 dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan penganjuran kejohanan berjalan dengan lancar dan sempurna.

1000215528

Menurut Shaiful, ORKA bukan sekadar medan persaingan untuk merebut kejuaraan, malah berperanan sebagai platform penting dalam memupuk disiplin diri, menyemai semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kampus.

1000215517

"ORKA merupakan acara sukan tahunan yang signifikan di Kampus Kesihatan melibatkan penyertaan daripada Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) dan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG).

1000215490

“Penganjuran ORKA dilihat selari dengan aspirasi universiti dalam melahirkan warga yang seimbang dari segi akademik, sahsiah serta kesejahteraan fizikal seiring agenda kesihatan holistik,” katanya ketika berucap di Majlis Penutup ORKA 2025/2026 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, semalam.

1000215494

Shaiful turut menyampaikan ucapan tahniah kepada semua pemenang di atas pencapaian cemerlang yang ditonjolkan.

1000215498

“Tahniah dan syabas kepada semua pemenang yang telah menunjukkan prestasi cemerlang. Anda akan dipertimbangkan untuk mewakili Kampus Kesihatan ke kejohanan peringkat universiti dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi, sekali gus mengharumkan nama Kampus Kesihatan.

1000215524

1000215506

“Bagi atlet yang belum berjaya, jangan berputus asa dan jadikan pengalaman sepanjang kejohanan ini sebagai pemangkin untuk terus berusaha serta meningkatkan prestasi pada masa hadapan.

1000215520

1000215514

“Saya selaku wakil pihak pengurusan universiti berharap agar penganjuran ORKA akan terus diperkasa dan menjadi pemangkin kepada pembudayaan sukan secara berterusan, sekali gus memperkukuhkan semangat kesukanan, kerjasama dan kebersamaan dalam kalangan warga Kampus Kesihatan,” ujarnya lagi.

1000215532

Sementara itu dalam program berasingan iaitu Program ‘From Passion to Podium’ yang merupakan program perkongsian inspirasi dengan menampilkan kisah perjuangan, pengorbanan dan ketekunan seorang anak muda yang juga mahasiswa USM bernama Amir Daniel yang berjaya meraih pingat emas di ‘Southeast Asian Games’ atau Sukan SEA 2025.

1000215530

Shaiful turut mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Amir Daniel atas kejayaan cemerlang merangkul pingat tersebut.

1000215532

“Kejayaan yang telah dicapai oleh Amir Daniel membuktikan bahawa warga USM bukan sahaja mampu mencipta kecemerlangan di bilik kuliah, malah turut mampu mengukir nama di arena sukan bertaraf antarabangsa.

1000215534

"Lebih membanggakan saya, kejayaan ini telah dicapai oleh seorang mahasiswa yang berjaya mengimbangi tuntutan akademik dengan komitmen latihan sukan yang intensif dan mencabar.

1000215538

“Saya amat berharap agar perkongsian yang disampaikan oleh Amir Daniel menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada para pelajar untuk terus berusaha mengejar impian masing-masing, walau apa jua bidang yang diceburi. Sesungguhnya, kejayaan tidak hadir dengan mudah, sebaliknya menuntut komitmen yang tinggi, kesabaran yang berterusan serta kecekalan yang tidak pernah luntur," jelasnya.

Menurut Shaiful lagi, pengurusan Kampus Kesihatan sentiasa menyokong usaha pembangunan bakat dan potensi pelajar secara menyeluruh, termasuk dalam bidang sukan, kepimpinan dan pembangunan kendiri.

1000215536

"Program seperti ini wajar diteruskan dan diperluaskan agar lebih ramai mahasiswa dapat memperoleh manfaat, pendedahan serta inspirasi untuk membentuk jati diri yang unggul,” katanya.

Teks: Mohd Hafiz Ya'acob dan Marlina Zahari / Foto: Noor Syafiqah Noor Suhaimi dan Unit Fotografi UKAST

  • Created on .
  • Hits: 175