Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PELANCARAN HILAL RAMADAN SEMARAKKAN AGENDA RAMADAN KAMPUS KESIHATAN USM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Februari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) memulakan agenda Ramadan peringkat Kampus Kesihatan melalui Majlis Pelancaran Hilal Ramadan 1447 Hijrah/2026, sekali gus menandakan bermulanya pelbagai program pengisian rohani dan kebajikan sempena bulan Ramadan.

1000223682

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail, dalam ucapannya berkata, Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, sebaliknya merupakan madrasah jiwa yang mendidik manusia untuk menyusun semula kehidupan berteraskan iman, akhlak dan ketakwaan.

1000223684

"Dalam kesibukan tugasan harian khususnya dalam dunia profesional dan perkhidmatan kesihatan yang menuntut kecekapan serta ketahanan emosi.

"Ramadan hadir sebagai peringatan bahawa kecemerlangan sebenar bukan hanya diukur melalui prestasi kerja, malah melalui kebersihan hati, keikhlasan dan nilai ihsan dalam setiap amanah yang dipikul setiap hari," katanya.

1000223680

Beliau menegaskan bahawa penghayatan Ramadan yang sebenar mampu melahirkan warga kerja yang berintegriti, berempati, berdisiplin dan bertanggungjawab, bukan kerana pengawasan atau peraturan semata-mata, sebaliknya lahir daripada kesedaran mendalam terhadap kehadiran Allah SWT dalam setiap tugas yang dilaksanakan.

"Majlis Pelancaran Hilal Ramadan tidak sekadar menjadi acara simbolik, sebaliknya berfungsi sebagai titik permulaan kepada perubahan berterusan dalam cara berfikir, bekerja dan berinteraksi, demi membina budaya kerja yang lebih berjiwa, berakhlak dan diberkati.

1000223688

"Saya menyeru seluruh warga Kampus Kesihatan serta para dermawan agar bersama-sama menyokong Tabung Ramadan Kampus Kesihatan USM yang berperanan menyemai kasih sayang dan kebersamaan melalui penyediaan Iftar Jama’ie kepada kira-kira 1,200 penerima, melibatkan pelajar, peneman pesakit, kakitangan syif petang serta ahli kariah sekitar," ujarnya lagi.

1000223690

Dalam pada itu, menurut Shaiful Bahari, USM menyasarkan kutipan sebanyak RM200,000 bagi tabung berkenaan pada tahun ini.

“Saya berharapan agar Ramadan kali ini dapat menyuburkan amalan tadabbur al-Quran yang bukan sahaja dibaca, malah benar-benar dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian sehingga membentuk peribadi, menyentuh nurani dan menggerakkan amal yang berpanjangan,” jelasnya.

1000223692

Majlis Pelancaran Hilal Ramadan yang mengangkat tema ‘Menjiwai Tadabbur: Menyelami Makna, Menyusun Jiwa, Membina Taqwa’ turut diisi dengan program Bicara Ramadan yang mengangkat tajuk ‘Menghayati Hikmah Ibadah, Menyantuni Ujian dengan Ihsan’ menampilkan Ahli Panel Klinik Hukum, Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Ustaz Abu Usamah Mohd Hanafiah sebagai panel jemputan, manakala moderator dikendalikan oleh Pensyarah Perubatan Jabatan Kecemasan, Hospital Pakar (HPUSM), Dr. Mohammad Zikri Mohd Zaki.

1000223686

Turut hadir pada majlis itu ialah, Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) USM, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Aktiviti Ramadan; Timbalan Pengarah Klinikal, HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria dan Timbalan Pengarah Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, Ustazah Amira Abd Sattar.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 150