USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Jun 2022 – “Pejabat Ombudsman Universiti Sains Malaysia (USM) ditubuhkan bagi membantu pengurusan tertinggi Universiti menangani segala hal penyelesaian pertikaian dan aduan dalaman dengan mengamalkan prinsip bebas, kerahsiaan, tidak berat sebelah dan proses tidak formal untuk semua warga Universiti,” demikian penasihatan daripada Pemangku Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin.
Shaharum ketika ditemubual berharap agar semua warga Kampus Kesihatan memahami peranan dan fungsi sebenar ombudsman agar mereka memanfaatkan saluran yang betul bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap sesuatu permasalahan yang dibangkitkan.
“Pejabat Ombudsman merupakan tempat di mana warga Universiti boleh mendapatkan panduan mengenai masalah, isu, konflik atau kebimbangan terhadap sesuatu di tempat kerja dalam USM.
“Pejabat Ombudsman sentiasa mengamalkan prinsip dan teras penting Ombudsman iaitu neutral, sulit, tidak formal dan bebas setakat mana yang boleh berdasarkan kepada undang-undang Malaysia serta Perlembagaan, Statut, Kaedah dan Peraturan Universiti,” ujarnya.
Menurut Shaharum, Ombudsman akan menerima aduan, masalah atau pertanyaan secara sulit dan rahsia daripada warga Universiti yang mana, Ombudsman kemudiannya akan mengadakan inkuiri dan menawarkan opsyen kepada pengadu yang datang kepadanya.
“Ombudsman akan mendengar dan membuat siasatan tidak formal berkenaan maklumat yang disiasat dan menawarkan pilihan penyelesaian, membuat rujukan, dan menjadi perantara pertikaian secara bebas dan adil di antara pengadu dan pihak yang diadu.
“Ombudsman akan membantu pihak-pihak dalam mencapai penyelesaian terbaik selaras dengan cita-cita dan objektif penubuhan Ombudsman itu sendiri,” jelasnya lagi.
Tambah Shaharum, Ombudsman juga boleh memberi maklum balas kepada Naib Canselor Universiti berkenaan mana-mana isu tanpa mengenal pasti mana-mana pihak kepada permasalahan mereka.
“Di samping itu, Ombudsman boleh membuat syor kepada Naib Canselor Universiti untuk perubahan dasar, latihan yang diperlukan, atau prosedur lain yang boleh meningkatkan keharmonian dan keadaan sekitar kampus.
“Ombudsman Universiti Sains Malaysia diberi mandat penuh untuk mengendalikan segala aduan yang berkaitan di dalam sistem ekologi Universiti secara berhemah berdasarkan prinsip dan piawaian Ombudsman antarabangsa dengan mengambil kira prinsip utama seperti penjagaan kerahsiaan, neutral, bebas dan tidak formal untuk menyelesaikan segera masalah dan konflik kepada semua warga Universiti,” ulasnya lanjut.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman