Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PEMBEDAHAN ANGGOTA HALANG KANSER MEREBAK

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Februari 2020 – Kanser merupakan penyakit berbahaya dan antara penyebab utama kematian. Rawatan kanser tulang dan tisu anggota sudah dijalankan di negara ini sejak dua dekad yang lalu dan antara rawatan menghalang kanser dari terus merebak adalah melalui pembedahan amputasi anggota yang akan mengakibatkan kecacatan secara kekal.

Prof Wan Faisham 1

Menurut Pakar Bedah Ortopedik, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Wan Faisham Nu’man Wan Ismail, pembedahan menyelamatkan anggota diperkenalkan di Hospital USM sejak 20 tahun yang lalu dan kaedah ini telah banyak menolong pesakit daripada kehilangan anggota badan.

“Pembedahan ini telah terbukti selamat dan amat berkesan untuk mengawal  kanser serta pesakit dapat menjalani kehidupan dengan berkualiti setelah anggota badan dapat diselamatkan dan berfungsi dengan baik.

“Pendekatan terbaharu dalam rawatan kanser tulang yang melibatkan pembedahan menyelamatkan anggota, menjamin pesakit untuk menerima dan mendapatkan rawatan yang optimum”, ujarnya semasa menyampaikan syarahan bertajuk ‘Sarkoma: Pembedahan Menyelamatkan Aggota’ dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang berlangsung di Dewan Utama Kampus Kesihatan, USM, di sini.

Prof Wan Faisham 2

Tambah Wan Faisham, pembedahan kanser yang rumit dan kompleks telah membuka minda ramai pakar untuk melibatkan diri dalam pembedahan seperti patah pelvis dan acetabulum.

“Pada masa lampau, patah jenis kompleks ini dirawat tanpa pembedahan yang boleh menyebabkan kecacatan kekal dan fungsi sendi terjejas serta menyebabkan kesakitan yang kronik.

“Kecederaan yang serius boleh dirawat melalui pembedahan bagi meningkatkan fungsi anggota badan dan pesakit dapat kembali produktif tanpa kecacatan dalam masa yang singkat”, jelasnya lagi.

Wan Faisham berkata, selain itu, rawatan kecederaan anggota yang menyebabkan kecederaan saraf dan salur darah juga mendapat manfaat daripada teknik pembedahan kanser ini.

“Teknik pembedahan kanser yang melibatkan pembedahan eksplorasi salur darah dan saraf utama membuka penerokaan kepada pembedahan menyelamatkan anggota yang mengalami kecederaan serius pada salur darah.

“Rawatan pembedahan kecederaan kompleks ini telah berjaya dilakukan di Hospital USM sejak 15 tahun lalu yang berfungsi setanding dengan pusat rawatan trauma terkemuka di negara ini,” katanya.

Wan Faisham turut menjelaskan bahawa kajian fungsi sendi dan anggota badan selepas melakukan pembedahan menunjukkan sebahagian besar pesakit mendapat fungsi yang optimum daripada kedua-dua pembedahan kompleks ini.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel & Wan Nur Suhailah Wan Draman (Pelajar Praktikal USIM) /  Foto: Anis Azniriza Zainol

  • Created on .
  • Hits: 172