Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PEMIMPIN CERMINAN SESEBUAH ORGANISASI

 

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Ogos 2021 – “Setiap kalian adalah pemimpin dan akan ditanya tentang kepimpinannya, seorang penguasa adalah pemimpin dan akan ditanya tentang kepimpinannya, seorang lelaki adalah pemimpin dalam keluarganya dan akan ditanya tentang kepimpinannya, seorang wanita adalah seorang yang bertanggungjawab dalam rumah suaminya dan akan ditanya tentang tanggungjawabnya, seorang pelayan adalah seorang yang bertanggungjawab dalam harta majikannya akan ditanya tentang tanggungjawabnya'', demikian kata Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail dipetik dari hadis riwayat Bukhari.

SAVE 20210818 060027

Menurutnya, menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin adalah satu amanah besar, lebih-lebih lagi beliau mengetuai sebuah organisasi terkemuka.

“Sebagai Pengarah Kampus, saya bertanggungjawab untuk memastikan semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) dapat dikembangkan dengan lebih baik terutama dalam meningkatkan ‘Key Performance Indicator’ (KPI) semua PTJ seterusnya membantu mencapai KPI USM secara keseluruhan.

“Antara usaha yang ingin saya laksanakan adalah menjadikan Kampus Kesihatan USM sebagai kampus lestari, mengadakan lebih banyak inisiatif hijau seperti panel solar, penanaman pokok-pokok organik, pembentukan taman-taman, isu-isu kebersihan perlu dijaga selain penggunaan plastik atau perkara yang tidak baik dapat dikurangkan di dalam Kampus Kesihatan,” ujarnya ketika menyampaikan ceramah bertajuk 'Mengetuai Masa Depan Organisasi Cemerlang' secara dalam talian, hari ini.

Tambah Shaiful, menerusi kepimpinannya juga beliau berhasrat untuk menjadikan Kampus Kesihatan sebagai kampus rujukan kerana kelebihan kampus ini mempunyai ramai cendekiawan yang mampu menjadi jurucakap di peringkat antarabangsa, oleh yang demikian bakat tersebut harus dikembangkan agar ia tidak disia-siakan.

“Dalam sesebuah organisasi perlu ada perubahan dari semasa ke semasa dan ianya merupakan satu keperluan untuk terus kekal bersaing secara sihat.

“Perubahan teknologi yang kian pesat menyebabkan kita perlu sentiasa seiring dengannya. Kita harus memikirkan apa perubahan dalam diri dan keluarga kita terlebih dahulu, seterusnya apa perubahan di tempat kerja, dalam organisasi serta dalam masyarakat. Maka dengan ini kita perlu mempunyai kreativiti dan berinovasi untuk melakukan perubahan tersebut,” jelasnya lagi.

Shaiful berkata, dalam situasi negara sedang bergelut dengan pandemik COVID-19, ada segelintir individu dan syarikat menjadi kaya raya kerana mereka berubah dengan cepat dan mengambil peluang yang wujud.

“Namun, dalam masa yang sama, orang yang tidak berusaha untuk berubah akan menderita, dibuang kerja, tidak tahu untuk berbuat apa-apa walaupun masih muda dan akhir sekali terpaksa mengemis selain menghadapi masalah kesihatan mental seterusnya tertinggal di belakang.

“Sebagai penjawat awam khususnya kakitangan USM, kita patut bersyukur dan berbangga kerana ini merupakan rezeki daripada Allah dan tidak termasuk dalam golongan yang kehilangan pendapatan.

“Sebolehnya kita perlu bertanggungjawab dan menyayangi organisasi ini kerana telah memberi ruang dan peluang kepada kita untuk terus berkembang dalam kerjaya di samping memacu USM menjulang nama di persada antarabangsa,” katanya.

Shaiful turut mengharapkan agar semua staf sama-sama membantu dan berganding tenaga untuk memastikan agenda universiti dapat diteruskan.

Teks: Mohd Hafiz Ya’acob

  • Created on .
  • Hits: 177