Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PEMINDAHAN ILMU CEGAH COVID-19 KEPADA GURU YIK, BANTU LANCARKAN NORMA BAHARU PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

KOTA BHARU, KELANTAN, 14 Julai 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Program Libatsama Komuniti USM-Merican, Persatuan Perubatan Keluarga USM (FAMOUS), Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) dengan kerjasama Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah menganjurkan program pemindahan ilmu secara khusus berkaitan pencegahan penularan COVID-19 bagi meningkatkan pemahaman guru-guru di bawah YIK, di sini hari ini.

PEMINDAHAN ILMU 1

Memandangkan sekolah bakal dibuka semula, program ini amat bertepatan dan berkesan serta memberi pendedahan berkenaan norma baharu menangani wabak COVID-19 terutama dalam kalangan pendidik dan murid.

Menurut Pengerusi Program Pemindahan Maklumat Pencegahan COVID-19 yang juga Pakar Perubatan Keluarga, PPSP USM, Dr Lili Husniati Yaacob, program ini bertujuan untuk berkongsi maklumat yang tepat serta mempertingkatkan pemahaman berkenaan pencegahan COVID-19 bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dalam keadaan selamat.

PEMINDAHAN ILMU 2

“Program ini dijalankan bagi memberi penjelasan dengan lebih terperinci berkait fakta dan mitos tentang COVID-19 selain memberi penekanan tentang aspek praktikal bagi pencucian tangan dan pemakaian pelitup muka dengan betul.

“Selain itu, program ini juga akan diadakan secara berterusan dengan turun ke sekolah-sekolah di bawah YIK yang terpilih untuk melihat sendiri sejauh mana kesedaran dan kesediaan guru-guru dan murid-murid meneruskan pengajaran dan pembelajaran pasca COVID-19 ini,” katanya ketika ditemubual.

PEMINDAHAN ILMU 3

Lili berkata, dengan adanya program tersebut, guru-guru berpeluang menggunakan kepakaran para doktor yang turun padang untuk bertanya sebarang kemusykilan berhubung wabak COVID-19.

“Kami berharap agar ilmu yang diperolehi pada hari ini disebar dan disampaikan kepada semua guru dan murid yang bakal memulakan sesi persekolahan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” ujarnya lagi.

PEMINDAHAN ILMU 4

Seramai 78 guru kesihatan daripada 92 buah sekolah di bawah YIK menghadiri program separuh hari yang dijalankan di Dewan YIK, Nilam Puri dekat sini.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 163