PENA SEORANG PAKAR: MENYULAM ILMU DALAM KATA DAN JIWA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Julai 2025 – Dalam dunia perubatan yang sarat dengan amanah merawat, mendidik dan menyantuni, penulisan mungkin tidak selalu dirancang, namun ia tetap menemukan ruangnya. Ia lahir daripada hati yang ingin berkongsi dan jiwa yang ingin menyentuh. Begitulah perjalanan Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain, Pakar Obstetrik dan Ginekologi serta Pensyarah Kehormat di Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang menjadikan penulisan sebagai sebahagian daripada warisan intelektual dan insani untuk dimanfaatkan oleh masyarakat.
Bagi beliau, menulis bukanlah satu aktiviti yang menunggu masa lapang. Ia hadir secara semula jadi sebagai tindak balas terhadap pengalaman. Sama ada saat melihat pesakit menahan air mata, mendengar rintihan yang tidak sempat ditenangkan atau menyedari bahawa sesuatu yang penting perlu disampaikan dalam bahasa yang lebih halus daripada panduan rawatan. Beliau percaya bahawa penulisan memiliki tempatnya yang tersendiri. Pena digenggam bukan hanya untuk mencatat, tetapi untuk menghidupkan kembali detik-detik yang membawa makna sama ada kepada pesakit, keluarga mereka mahupun kepada masyarakat yang belum pernah melalui pengalaman getir menerima diagnosis.
Karya-karya beliau sama ada dalam bentuk novel mahupun cerpen menjadi jambatan yang menghubungkan dunia klinikal dengan masyarakat. Di sebalik ketegasan profesion perubatan, tersembunyi emosi, dilema dan sisi manusiawi yang jarang terzahir. Prinsip ‘Menulislah dari hati, biar sampai ke hati’ menjadi pegangan yang mewarnai setiap naskhah yang dikarang. Harapan beliau adalah agar pembaca bukan sekadar memahami simptom dan rawatan, tetapi turut merasai resah, duka dan kekuatan yang terpahat dalam perjalanan hidup seorang pesakit.
Nik Hazlina melihat penulisan sebagai satu bentuk penyuluhan yang tidak hanya menyentuh tubuh, malah turut menyentuh rasa. Ia bukan sekadar medium penyampaian maklumat, bahkan mampu membina empati. Setiap cerpen yang dihasilkan merupakan sedekah ilmu dan doa yang dititipkan dalam diam. Ia ditujukan kepada mereka yang sedang diuji, kepada keluarga yang mendukung dalam kesunyian, serta kepada masyarakat yang ingin memahami bahawa penyakit bukan sekadar istilah klinikal, sebaliknya ia adalah satu perjalanan hidup yang memerlukan kekuatan luar biasa.
Pengalaman beliau sebagai ahli perubatan menyediakan bekalan kisah-kisah bermakna yang tidak ternilai. Banyak antara kisah itu tidak sempat dikongsikan di bilik rawatan, namun akhirnya menemukan ruang untuk ditulis dan dihidupkan kembali melalui cerita. Lebih istimewa, beliau tidak bersendirian dalam usaha ini. Ramai rakan sejawat yang turut menyumbang suara dalam bentuk cerpen. Mereka terdiri daripada doktor pakar, pensyarah, jururawat, ahli sains kesihatan dan juga guru bahasa. Impian yang pernah disimpan sejak remaja kini dihidupkan semula dengan pena yang disulami pengalaman klinikal. Dalam karya yang dihasilkan, mereka menyelitkan fakta perubatan dan menyampaikan mesej empati dalam gaya bahasa yang lembut, mudah difahami dan menyentuh hati masyarakat umum.
Sebagai contoh, dua (2) buah antologi terkini yang dikoordinasi oleh beliau, Kami Menanti Wafdan dan Kejora Cinta di Hatiku, diterbitkan oleh Bahagian Penerbitan Popular, Penerbit USM. Kedua-dua antologi ini memuatkan 13 cerpen yang diinspirasikan daripada kisah benar dan ditulis oleh pengkarya daripada pelbagai latar belakang dalam bidang perubatan dan kesihatan.
Antologi Kami Menanti Wafdan menyentuh pelbagai isu yang merangkumi tekanan sosial untuk mendapatkan anak lelaki demi legasi keluarga, dilema berkaitan ligasi tiub, penyalahgunaan herba tradisional, penolakan rawatan dalam kalangan pesakit diabetes, isu obesiti dan kecurangan, trauma akibat kecederaan tulang belakang, gangguan seksual zaman kanak-kanak serta konflik rumah tangga yang bermula seawal malam pertama. Manakala Kejora Cinta di Hatiku mengetengahkan kisah tentang harapan memiliki zuriat di usia senja, konflik antara rawatan moden dan tradisional, tekanan dalam kerjaya, gangguan obsesif kompulsif (OCD), penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE), isu ‘human immunodeficiency virus’ (HIV) serta cabaran kekeluargaan dalam kalangan pendatang tanpa izin.
Kesemua cerita tersebut ditulis dengan pendekatan naratif yang menyentuh emosi, berpijak pada realiti klinikal dan sarat dengan nilai kemanusiaan. Ia membuka sisi lembut dan penuh empati dalam diri petugas kesihatan yang biasanya kelihatan tabah di hadapan pesakit, namun tetap manusia biasa yang turut menyimpan gelora rasa. Penggunaan bahasa yang tidak terlalu teknikal menjadikan karya ini dekat di hati dan mudah dihayati oleh pembaca dari pelbagai latar belakang.
Antologi ini menjadi titik penting dalam sejarah kecil penerbitan universiti, membuktikan bahawa gabungan antara sains dan seni mampu menyampaikan kebenaran dalam bentuk yang lebih berjiwa. Sebelum ini, Nik Hazlina turut menerbitkan beberapa karya bersama Dewan Bahasa dan Pustaka seperti novel Memori Cinta Medik, Mengejar Zuriat, Cinta InVitro dan Cinta Nan Bersemi Kembali. Beliau juga menyelenggara beberapa antologi cerpen seperti Isteriku 46XY, Suamiku 47XXY, Mustajabnya Tahajud Cinta dan Konspirasi COVID: Rasukan SARS-CoV-2.
USM sentiasa menyokong dan menggalakkan inisiatif penulisan buku dalam kalangan warganya, selaras dengan komitmen universiti untuk memperkasa penyebaran ilmu dan membina budaya intelektual yang lestari. Sokongan ini diberikan bukan sahaja kepada penulisan ilmiah, tetapi turut merangkumi karya kreatif yang menyumbang kepada perkembangan sastera dan nilai kemanusiaan. Ini membuktikan bahawa universiti bukan sekadar medan untuk mencetak ilmuwan, bahkan juga menjadi ruang subur yang menyemai pengkarya berjiwa. Mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu dengan akal, tetapi turut menyentuh hati melalui rasa.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 290