Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PENDUDUK TERUJA DAN BERSYUKUR KLINIK BERGERAK USM MASUK KAMPUNG

KOTA BHARU, KELANTAN, 5 Mac 2023 – "Syukur dan terima kasih Universiti Sains Malaysia (USM)", demikian terujanya reaksi kira-kira 250 penduduk sekitar Kota dan Pintu Geng menerima kunjungan pasukan petugas kesihatan USM yang menganjurkan program khidmat komuniti kesihatan di Masjid Khadijah, Kampung Surau Kota, di sini semalam.

PENDUDUK TERUJA DAN BERSYUKUR KLINIK BERGERAK USM MASUK KAMPUNG

Salah seorang penduduk setempat, Che Ibrahim Che Amat, 59, ketika ditemubual memberitahu beliau amat berterima kasih kepada USM dan Yayasan Merican kerana turun padang menyantuni komuniti khususnya warga emas dan penduduk daripada golongan B40 yang mempunyai masalah kesihatan dan sukar untuk mendapatkan rawatan di hospital.

“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan program ini kerana program sebegini amat ditunggu-tunggu penduduk kampung untuk mengetahui tahap kesihatan masing-masing dengan lebih terperinci.

PENDUDUK TERUJA DAN BERSYUKUR KLINIK BERGERAK USM MASUK KAMPUNG 2

PENDUDUK TERUJA DAN BERSYUKUR KLINIK BERGERAK USM MASUK KAMPUNG 3

“Program seperti ini juga menjimatkan masa tanpa perlu menunggu giliran yang lama untuk berjumpa doktor dan saya amat berharap agar program sebegini dijalankan dengan lebih kerap lagi pada masa akan datang demi manfaat semua,” katanya.

USM menerusi Program Libatsama Komuniti USM-Merican kali ini turun dengan kekuatan pasukan seramai hampir 130 orang daripada pelbagai disiplin termasuk 12 pakar perubatan serta para pelajar perubatan.

19fa9b22 e5bd 4384 90fe bfdb8b790f21

PENDUDUK TERUJA DAN BERSYUKUR KLINIK BERGERAK USM MASUK KAMPUNG 5

Program kali ini menyediakan kemudahan saringan kesihatan umum, pemeriksaan telinga, hidung dan tekak (otorinolaringologi - ORL), mata (oftalmologi), pergigian, pemulihan perubatan (rehabilitasi) serta pelbagai pameran pendidikan kesihatan. Turut dibawakan khas kepada komuniti setempat ialah dua (2) buah bas klinik bergerak bersama pakar serta petugas yang berkeupayaan membuat pemeriksaan secara terperinci tanpa pesakit perlu datang ke Hospital USM.

Program yang dianjurkan bersama Jawatankuasa Masjid Khadijah ini mensasarkan penduduk serta ahli kariah masjid berkenaan selain turut mengundang ahli kariah daripada 15 buah masjid, badan bukan kerajaan (NGO) serta pusat-pusat tahfiz berhampiran.

PENDUDUK TERUJA DAN BERSYUKUR KLINIK BERGERAK USM MASUK KAMPUNG 6

Program Libatsama Komuniti USM-Merican dilancarkan pada tahun 2019 dan kini menginjak usia lebih 3 tahun. Pasukan program ini telah menjelajah ke 14 lokasi serata pelosok negeri Kelantan.

Antara matlamatnya ialah berusaha memberi peluang kepada masyarakat awam, khususnya golongan terpencil yang sukar mendapat akses kepada fasiliti perubatan di bandar. Selain membawa pasukan perawatan ke setiap destinasi, pasukan ini juga mempromosikan pelbagai kempen gaya hidup sihat kepada masyarakat.

PENDUDUK TERUJA DAN BERSYUKUR KLINIK BERGERAK USM MASUK KAMPUNG 7

Program hasil daripada kerjasama strategik antara USM dengan Yayasan Merican ini ternyata menampakkan impak yang signifikan apabila sehingga kini, lebih daripada 2,000 orang awam telah mendapat manfaat langsung secara keseluruhan di kesemua lokasi yang dikunjungi.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengasas Yayasan Merican, Dato’ Dr. Mahmood Merican dan isteri serta ahli keluarga, Dekan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Timbalan Dekan (Libatsama Industri - Komuniti dan Pembangunan), PPSP merangkap Pengerusi Program Libatsama Komuniti USM - Merican, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam dan Ahli Jawatankuasa Masjid Khadijah Kampung Surau Kota, Muhd Nawawi Mat Daud.

Teks : Muhd Zulkifli Zakaria / Foto : Wan Mohd Rashidi Wan Mood.

  • Created on .
  • Hits: 166