Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PENEKANAN INTEGRITI DAN ETIKA KERJA WARGA HPUSM PERKUKUH STANDARD PERKHIDMATAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 Ogos 2025 – “Integriti dan etika kerja bukan sekadar slogan yang sering dilontarkan tetapi merupakan satu tanggungjawab moral dan profesional yang wajib diamalkan oleh setiap staf dari peringkat tertinggi hingga ke barisan hadapan,” demikian petikan ucapan Pengarah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani.

1000164967

Beliau menekankan bahawa, nilai-nilai itu menjadi asas kepada usaha menyediakan perkhidmatan kesihatan yang bukan sahaja selamat dan berkualiti, tetapi juga penuh dengan keikhlasan dan keprihatinan.

“Integriti dan etika kerja adalah asas kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat, dan penuh keprihatinan.

1000164969

“Integriti menjadi tunjang kepada pemeliharaan kewibawaan dan nama baik institusi manakala etika kerja mencerminkan profesionalisme, komitmen dan kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya ketika berucap dalam sesi 'Town Hall' Integriti dan Etika Kerja: Menjaga Standard Tinggi dalam Perkhidmatan yang berlangsung di Auditorium Blok Pentadbiran HPUSM, hari ini.

1000164975

Tambah Ab Rahman Izaini, penghayatan nilai-nilai ini dapat membentuk budaya kerja positif berteraskan sikap saling menghormati, keterbukaan, ketelusan dan rasa tanggungjawab selain meningkatkan keyakinan pesakit serta masyarakat terhadap perkhidmatan hospital.

1000164971

“Nilai integriti yang tinggi juga berperanan mencegah gejala negatif seperti rasuah, penyelewengan dan salah laku yang boleh menjejaskan mutu rawatan serta keselamatan pesakit,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyeru seluruh warga HPUSM agar terus memupuk nilai integriti serta etika kerja sebagai amalan harian demi menjadikan HPUSM sebuah institusi perkhidmatan kesihatan yang unggul.

1000164973

‘Town Hall’ ini turut diisi dengan tiga (3) slot ceramah utama iaitu Integriti vs Etika yang disampaikan oleh Ketua Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Mohd Faizal Che Meh; Kejujuran dalam Kewangan: Bagaimana Membangunkan Budaya Integriti pula disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Kelantan, Penolong Pesuruhjaya (PPj) Najwa Mohd Sabry dan Kerja ‘Tip-Top’, Disiplin ‘Non-Stop’ disampaikan oleh Timbalan Penasihat Undang-Undang, USM, Mohd Izwan Hamdan.

1000164977

'Town hall' ini turut diselitkan dengan sesi soal jawab bagi memberi ruang kepada peserta mengupas isu-isu berkaitan integriti dan etika kerja.

Teks: Rosalwani Che Soh / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 342