PENGANTARABANGSAAN PENDIDIKAN: USM IKAT TIGA UNIVERSITI TERNAMA DI JORDAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Jun 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa apabila memeterai satu (1) Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jordan University of Science and Technology (JUST) serta dua (2) Perjanjian Kerjasama Penyelidikan (RCA) masing-masing dengan Mutah University dan The University of Jordan.
Majlis menandatangani MoU dan RCA ini berlangsung di Dewan Persidangan Kampus dan disempurnakan oleh Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail yang mewakili Naib Canselor.
Menurut Shaiful Bahari, MoU dan RCA ini mencerminkan komitmen bersama institusi pengajian tinggi dari dua (2) negara untuk meneroka potensi kolaborasi dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan komuniti.
“Kerjasama ini adalah satu (1) langkah penting ke arah mewujudkan hubungan akademik yang menyeluruh dan inklusif serta memberi manfaat bukan sahaja kepada pensyarah dan pelajar, malah kepada masyarakat khususnya pelanggan yang berurusan dengan institusi kami,” katanya.
Tambah Shaiful Bahari, ketiga-tiga universiti yang menjalinkan kerjasama dengan USM ini merupakan institusi hebat di mana JUST dikenali sebagai sebuah universiti terkemuka dalam bidang kejuruteraan, perubatan dan sains kesihatan di Timur Tengah, Mutah University pula menekankan pendekatan pendidikan berasaskan komuniti serta pengkhususan dalam bidang kesihatan awam, kemanusiaan dan jati diri kebangsaan manakala The University of Jordan yang ditubuhkan pada tahun 1962 pula merupakan institusi pengajian tinggi tertua dan antara yang paling berprestij di Jordan.
Beliau berkata, kolaborasi antara USM dan tiga (3) universiti tersebut telahpun membuahkan hasil awal yang memberangsangkan apabila enam (6) projek penyelidikan menerima pembiayaan menerusi Dana Geran Pemangkin Malaysia–Jordan (Malaysia–Jordan Bridging Grants).
“Enam (6) projek tersebut ialah 'Exploring Ethical and Culturally Sensitive Protocol for Body Donation in Islamic Communities for Medical Education: A Comprehensive Investigation in Malaysia and Jordan' - (kajian bersama USM dan JUST yang meneliti sensitiviti etika dan budaya dalam pendidikan perubatan); 'Farm Business Management in Evolving Agricultural Landscapes: A Comparative Study of Cash Crop Farmers’ Attitudes and Skills in Malaysia and Jordan' – (kajian perbandingan petani tanaman kontan di Malaysia dan Jordan bagi memperkukuh keselamatan makanan); 'Evaluation of the Impact of Pazopanib, Adverse Drug Reactions and Safety Issues on Health Outcomes in Patients with Renal Cell Carcinoma' – (kajian klinikal untuk meningkatkan keselamatan rawatan kanser); 'Effectiveness of Dietary and Feeding Behaviour Module for Children with Autism Spectrum Disorder in Amman, Jordan: A Mixed Method Study' - (kajian pelaksanaan modul tingkah laku dan pemakanan khusus di Amman, Jordan); 'Research Collaboration on Deciphering the Mechanisms of Flavonoids Against Breast Cancer Through Integrated Metabolomics and Network Pharmacology' – (kajian integratif menggunakan pendekatan metabolomik dan farmakologi rangkaian antara USM dan Mutah University) dan 'Palm Oil Mill Effluent and Water Pollution' – (projek penyelidikan alam sekitar bersama The University of Jordan).
“Kesemua projek ini memperlihatkan keterlibatan aktif dalam penyelidikan transnasional yang berimpak tinggi dan sejajar dengan misi USM sebagai Universiti APEX negara,” jelasnya lagi.
Shaiful Bahari turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan usaha sama ini dan berharap agar perjanjian yang dimeterai menjadi asas kepada kejayaan bersama dalam bidang akademik dan inovasi masa depan.
“Marilah kita terus maju atas dasar kebersamaan, saling menghormati, tanggungjawab dan solidariti akademik demi manfaat sejagat,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Malaysia Jordan yang mewakili Duta Besar Malaysia ke Jordan dan Palestin, Profesor Madya Dr. Radzuwan Ab Rashid dalam ucapannya berkata, kolaborasi ini dimeterai melalui inisiatif Geran Pemangkin Malaysia - Jordan menerusi Education Malaysia Jordan (EMJ) yang telah diperkenalkan sejak tahun 2022 dan kini diteruskan dalam pusingan kedua bagi tahun 2024 sebagai usaha berterusan memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan antara Malaysia dan Jordan.
"Saya berharap agar kolaborasi antara USM dan ketiga-tiga universiti ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai penyelidik antara kedua-dua negara untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang lain pada masa akan datang.
"Semoga kerjasama ini memberi manfaat bersama kepada institusi pengajian masing-masing dalam penyebaran ilmu pengetahuan dan penyelidikan serta mendorong ke arah pengantarabangsaan yang lebih efektif di samping jalinan persahabatan yang kukuh," katanya.
Hadir sama dalam majlis secara maya ini ialah Naib Presiden JUST, Profesor Dr. Muna A. Abu-Dalo; Naib Presiden Hal Ehwal Kolej Sains, Mutah University, Profesor Dr. Amin Aqel; Dekan Penyelidikan Saintifik, The University of Jordan, Profesor Dr. Yaser Rayyan, Dekan, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Pengarah, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, wakil dari Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan dan para penyelidik dari JUST, Mutah University, The University of Jordan dan USM.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/ Foto Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 134