Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PENGARAH HPUSM SERU WARGA HOSPITAL BERSATU REALISASIKAN VISI 2026

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Februari 2026 – “Semoga kita semua dapat merealisasikan impian yang dihasratkan pada tahun 2026 dan berkongsi kejayaan tersebut dengan semua warga Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di samping mengharapkan kehidupan yang mendamaikan dan baik-baik sahaja pada masa akan datang,” demikian petikan kata-kata bersahaja tetapi sarat dengan harapan daripada Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani dalam Majlis Perutusan Pengarah HPUSM 2026, hari ini.

Beliau mewakili pengurusan tertinggi HPUSM merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua warga HPUSM atas segala jasa, bakti dan komitmen yang diberikan sepanjang berkhidmat di HPUSM.

Ab Rahman Izaini mengajak semua warga HPUSM berganding bahu dan berjalan seiring ke hadapan untuk mencapai objektif serta visi yang digariskan.

“Marilah kita terus melangkah ke hadapan tanpa menoleh lagi kebelakang dengan memperkasakan ‘tagline’ HPUSM iaitu ‘Menerajui Kepakaran, Memperkasa Kesihatan.

“Komitmen, dedikasi, iltizam yang kita impikan itulah yang menentukan kita mampu mencapai visi tersebut atau sebaliknya pada masa hadapan,” ujarnya.

Tambah Ab Rahman Izaini, Menerajui Kepakaran Memperkasa Kesihatan merujuk kepada usaha untuk menjadi pemimpin dalam bidang kesihatan melalui pengembangan kepakaran dan amalan terbaik untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat.WhatsApp Image 2026 02 09 at 3.59.39 PM

“Hal ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara merangkumi lima (5) elemen yang perlu diketengahkan iaitu kecemerlangan klinikal, inovasi dan penyelidikan; infrastruktur dan teknologi; penjagaan kesihatan berkualiti dan holistik; meningkatkan kesihatan rakyat MADANI serta kelestarian hakiki,” katanya dalam majlis yang menghimpunkan lebih 300 warga HPUSM di Auditorium Blok Pentadbiran HPUSM.

Menurut Ab Rahman Izaini lagi, sehingga kini, HPUSM masih lagi unggul dalam penyampaian perkhidmatan kepada golongan B40.

“HPUSM menawarkan ‘harga marhaen, kualiti kayangan’ di mana caj yang dikenakan kepada pesakit adalah paling rendah berbanding hospital pengajar lain di Malaysia.

“Kadar caj ini adalah demi kebajikan rakyat Kelantan terutamanya golongan yang kurang berkemampuan agar mereka dapat meneruskan rawatan dan menikmati kemudahan yang sama seperti orang lain,” jelasnya.

Beliau berkata, HPUSM juga merupakan paksi utama perkhidmatan, pendidikan dan penyelidikan perubatan (Central Axis of Medical Service Teaching and Research) yang telah melahirkan seramai 3,310 pakar yang berkualiti dan kompeten dalam pelbagai bidang kepakaran.

“Selain itu, HPUSM juga merupakan satu-satunya Pusat Rawatan Kanser di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang menyediakan rawatan yang canggih, tepat, pantas dan selamat.

“Infrastruktur kemudahan pesakit, pelawat dan staf HPUSM juga sentiasa diberi keutamaan melalui pelbagai evolusi dan kelestarian yang akan dilaksanakan secara berperingkat agar kemudahan yang disediakan mengikut arus perkembangan semasa,” katanya.

Ab Rahman Izaini turut menegaskan bahawa HPUSM kini memerlukan komitmen padu daripada semua pihak bagi memastikan impian kerajaan tempatan untuk merealisasikan Bandar Perubatan Pintar Al-Muhammadi dapat dicapai dengan jayanya tidak lama lagi.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Dr. Norhayati Luddin; Timbalan Pengarah (Klinikal) HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Timbalan Pengarah (Operasi) HPUSM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset) HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Timbalan Pengarah (Digital) HPUSM, Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar; Timbalan Pengarah (Pentadbiran) HPUSM, Mohd Saberi Mohd Yusoff dan Ketua-ketua Jabatan serta Unit HPUSM.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 277