Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PENGHASILAN PRODUK UBAT TITIS MATA GUNA MADU KELULUT FOKUS UTAMA RCA USM DAN AESTECH PRO SDN.BHD.

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Ogos 2024 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) dan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) hari ini menandatangani Memorandum ‘Research Collaboration Agreement’ (RCA) bersama Aestech Pro Sdn. Bhd.

IMG 20240813 WA0015

Kolaborasi antara dua (2) belah pihak ini bertujuan menjalin kerjasama bagi menjalankan kajian penyelidikan untuk menghasilkan ubat titis mata menggunakan madu kelulut bagi mengatasi masalah mata kering.

Majlis penandatanganan RCA tersebut disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Madya Dr. Asrenee Abd Razak mewakili Dekan PPSP dan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri- Komuniti), Profesor Madya Dr. Suharni Mohamad mewakili Dekan PPSG bagi pihak USM, manakala Aestech Pro Sdn. Bhd. diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Goh Xue Jin dan Pegawai Penyelidikan dan Pembangunan, Nafeesathul Misriya Abdul Aziz.

IMG 20240813 WA0016

Asrenee dalam ucapannya berkata, kajian di luar negara menggunakan madu sebagai bahan asas ubat titisan mata mendapati bahawa ia bukan sahaja mampu merawat dan melegakan mata kering, bahkan dapat merawat jangkitan permukaan mata dan juga berkesan untuk merawat ulser kornea setanding dengan ubat titis antibiotik di pasaran.

“Ini merupakan satu usaha murni yang dapat memberikan alternatif baharu yang lebih alami dan selamat buat pesakit–pesakit mata.

 IMG 20240813 WA0014

“Kami juga yakin bahawa ‘Kelulut Honey Eye Drop’ yang dihasilkan bukan sekadar berkesan untuk melegakan simptom dan merawat penyakit mata kering, tetapi mempunyai faedah sebagai rawatan tambahan (adjunct treatment) yang selamat dan berkesan untuk pelbagai penyakit permukaan okular (ocular surface disease) termasuk ‘allergic conjunctivitis’, ‘keratitis’, ‘corneal ulcer’ dan ‘blepharitis’,” katanya.

Selain itu, Asrenee berharap usahasama yang dijalinkan ini akan membawa satu lagi transformasi dalam lanskap penyelidikan di USM.

 IMG 20240813 WA0013

“Saya yakin dengan adanya kerjasama baik daripada Aestech Pro Sdn. Bhd., kita berupaya memberi harapan baharu kepada pesakit- pesakit mata kering dan hal ini selari dengan misi USM sebagai universiti perintis, intensif penyelidikan rentas bidang yang memperkasakan bakat masa depan dan mengupayakan golongan terkebawah demi mentransformasi kesejahteraan sosioekonomi mereka.

“Jutaan terima kasih kepada pihak Aestech Pro yang telah bersetuju dan bersepakat, bukan hanya memberikan geran penyelidikan tetapi akan bersama-sama menyumbang kepakaran dalam pengeluaran dan pemasaran ‘Kelulut Honey Eye Drop’ ini nanti,” ujarnya lagi.

IMG 20240813 WA0019

Sementara itu, Xue Jin pula berkata, pihaknya amat berbangga dan berbesar hati di atas kerjasama itu yang dapat meningkatkan kepakaran dalam bidang penyelidikan.

“Saya amat berbangga kerana USM dapat bekerjasama dengan Aestech Pro Sdn. Bhd. untuk mengembangkan lagi ilmu penyelidikan bagi manfaat bersama.

IMG 20240813 WA0017

“Semoga usaha murni kita semua untuk menghasilkan produk inovasi penyelidikan perubatan ‘Kelulut Honey Eye Drop’ ini dapat membantu mengatasi sindrom mata kering yang dialami oleh masyarakat di Malaysia.

IMG 20240813 WA0018

Turut hadir ialah Timbalan-timbalan Dekan PPSP USM, Ketua Projek RCA antara USM dan Aestech Pro Sdn. Bhd., Dr. Shahidatul Adha Mohamad dan rakan-rakan penyelidik projek ini.

Teks: Rosalwani Che Soh@Yusoff/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 343