PENGURUSAN PENSTERILAN ALATAN PERUBATAN PERLU SEMPURNA UNTUK ELAK JANGKITAN SILANG
USM KUBANG KERIAN, 24 Mei 2021 – Semua peralatan untuk kegunaan rawatan pesakit di hospital perlu disteril atau dinyahkuman dengan sempurna bagi mengelak jangkitan silang khususnya kepada doktor dan paramedik.
Di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) dan juga hospital-hospital lain, terdapat pelbagai risiko jangkitan kuman yang merbahaya, termasuklah virus COVID-19, HIV, Hepatitis, Tuberkulosis serta virus-virus lain yang boleh membawa maut kerana mudah merebak jika tidak dicegah dari awal.
Menurut Ketua Jururawat, Unit Pembekalan Alatan Steril (UPAS), Hospital USM, Mohd Zulkarnaeen Mohd Yusoff, UPAS merupakan satu-satunya unit yang menguruskan perkhidmatan penyediaan pembekalan peralatan dan set steril kepada 11 buah klinik, 40 wad dan enam (6) unit termasuk Dewan Bedah, Dewan Bedah Bersalin, Dewan Bedah Trauma dan Dewan Bedah Pergigian.
“Setiap peralatan steril yang dibekalkan di Hospital USM adalah selamat digunapakai kerana semua proses kerja mematuhi Standard Prosedur Operasi (SOP) sepertimana yang ditetapkan oleh Persatuan Perkhidmatan Pensterilan Malaysia (PPPM).
“Keperluan peralatan steril yang dibekalkan membolehkan semua staf Hospital USM melaksanakan prosedur steriliti mengikut standard yang ditetapkan serta memastikan semua pesakit selamat dari risiko jangkitan silang,’ katanya ketika ditemubual.
Tambah Zulkarnaeen, bagi mengekang penularan wabak COVID-19, UPAS juga berusaha dalam membantu menambah bekalan keperluan peralatan steril di wad dan unit-unit yang kritikal seperti Intensive Care Unit (ICU), Isolasi Medical (ISOMED), Medical Severe Acute Respiratory Infections (MEDSARI), Trauma ICU, Klinik Saringan Infeksi (SRI) dan lain-lain lagi.
“Proses kerja di UPAS terbahagi kepada empat (4) zon utama dan setiap zon mempunyai jumlah staf yang berbeza iaitu zon satu (1) sebagai kawasan dekontaminasi iaitu penerimaan set kotor dan pencucian set, zon dua (2) ialah penyediaan dan pembungkusan set, bilik linen, penyediaan ‘Loose Item’ dewan bedah dan wad serta penyediaan ‘Soft Dressing’, zon tiga (3) pula ialah pensterilan set-‘Autoclave’ dan zon empat (4) adalah bilik steril dan pengagihan.
“Proses pencucian di UPAS dilakukan secara manual dan juga mekanikal mengikut prosedur-prosedur yang ditetapkan. Penerimaan set kotor dari dewan bedah, wad dan unit juga dipantau terutamanya bagi kes penyakit berjangkit yang dikenalpasti untuk proses dekontaminasi dengan mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Unit Kawalan Jangkitan dan Epidemiologi Hospital (UKJEH) bagi memastikan semua staf selamat dalam mengendalikan peralatan kotor,” jelasnya.
Zulkarnaeen berkata, bagi proses pengeringan pula, alatan ini akan dikeringkan menggunakan mesin sepenuhnya dengan suhu 80 celcius.
“Alatan ini akan melalui proses pengasingan mengikut kategori dan penyediaan set akan dilakukan mengikut senarai semak dan akan dibungkus serta disteril dengan suhu 134°c dan 121°c mengikut kesesuaian peralatan.
“Set yang disteril akan disejukkan sebelum disimpan di Bilik Steril dan seterusnya dibekalkan kepada seluruh Hospital USM mengikut keperluan dan senarai stok harian,” jelasnya lagi.
Zulkarnaeen turut menjelaskan bahawa jumlah set pembedahan yang disediakan untuk kegunaan Dewan Bedah pada setiap hari adalah antara 200 hingga 250 set, manakala untuk set prosedur yang dibekalkan kepada klinik, wad dan unit adalah sebanyak 600 hingga 700 set setiap hari bergantung kepada situasi semasa.
“Ketika bencana banjir melanda negeri Kelantan pada tahun 2014, Hospital USM juga menerima pesakit dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan hospital-hospital lain di seluruh Kelantan, menjadikan penggunaan alatan steril ini meningkat sehingga 800 set sehari.
“Dalam tempoh negara menghadapi penularan pendemik COVID-19 kini, Hospital USM tidak terkecuali menerima pesakit COVID-19 sekaligus menyebabkan peningkatan penggunaan alatan dan set steril sebanyak 10 hingga 20 peratus setiap bulan,” katanya.
Tambah Zulkarnaeen lagi, UPAS juga turut menerima permintaan untuk perkhidmatan pensterilan peralatan dari agensi luar seperti pusat rawatan, klinik swasta, hospital swasta, Radicare dan hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam negeri Kelantan dan perkhidmatan ini dibuat melalui USAINS Tech Services Sdn Bhd.
Teks : Muhd Zulkifli Zakaria /Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 1337