Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PENTINGNYA KESIHATAN IBU SEMASA HAMIL DAN KELAHIRAN BAYI

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 September 2021 – Kesihatan ibu adalah merujuk kepada kesihatan wanita semasa kehamilan, kelahiran anak dan tempoh selepas bersalin.

Kaum ibu perlu terlibat secara aktif dalam penjagaan kesihatan diri sendiri dan bayi serta digalakkan berkomunikasi secara terbuka dengan pasukan penjagaan kesihatan agar tidak ragu untuk bertanya mengenai anda atau bayi anda.

SAVE 20210928 170350

Menurut Penyarah Perubatan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Noor Adibah Hanum Che Hashim, pandemik COVID-19 melanda negara sudah hampir dua (2) tahun dan telah meningkatkan risiko kematian dalam kalangan wanita terutamanya mereka yang hamil dan melahirkan anak.

“Hal ini disebabkan oleh kurangnya penglibatan kepada penjagaan ‘pre’ dan ‘postnatal’ selain kurang lawatan dari pihak kakitangan kesihatan apatah lagi wanita hamil merupakan golongan yang mudah dijangkiti virus pembawa maut ini.

“Pasangan atau rakan-rakan, keluarga dan masyarakat hendaklah memberi sokongan kepada ibu sepanjang tempoh kehamilan dan sekitar waktu melahirkan anak. Bersuaralah untuk hak orang tersayang mendapat penjagaan yang selamat semasa mengandung dan selepas melahirkan,” ujarnya semasa menyampaikan ceramah sempena Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia Peringkat Hospital USM, hari ini.

SAVE 20210928 170358

Noor Adibah berkata, bagi petugas kesihatan pula, mereka perlu berusaha menjadikan kelahiran sebagai pengalaman positif kepada semua wanita dan bayi yang baru lahir dengan memberikan penjagaan yang selamat dan berkualiti. 

“Kakitangan kesihatan bertanggungjawab menerapkan langkah-langkah keselamatan semasa kehamilan, melahirkan dan semasa pasca kelahiran seperti keselamatan ubat, keselamatan pembedahan, keselamatan darah, keselamatan radiasi, keselamatan alat perubatan, sanitasi, dan pencegahan jangkitan.

“Ini bersesuaian dengan target ‘Sustainable Developmental Goals’ (SDG) 3.1 menjelang tahun 2030 iaitu mengurangkan nisbah kematian ibu di global kepada kurang daripada 70 kematian dalam 100,000 kelahiran hidup.

“Sementara itu, SDG 3.2 pula memberi penekanan menjelang tahun 2030 untuk mengurangkan kematian neonatal kepada sekurang-kurangnya 12 kematian dalam 1,000 kelahiran hidup dan kematian bagi kanak-kanak di bawah lima (5) tahun sekurang-kurangnya serendah 25 kematian dalam 1,000 kelahiran hidup,” jelasnya lagi.

Tambah Noor Adibah, wanita hamil juga dinasihatkan untuk menjaga diri sendiri dan bayi sepanjang proses mengandung dan melahirkan dengan cara menghadiri semua temujanji antenatal, memaklumkan sejarah perubatan yang lengkap kepada petugas kesihatan dan sering bertanya serta mengikuti cadangan petugas kesihatan berhubung kesihatan anda.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 381