Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PENYAKIT MATA JULING DI MALAYSIA : KAEDAH RAWATAN DAN CABARAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Januari 2023 - Strabismus atau masalah juling merupakan kedudukan posisi bola mata yang tidak memandang lurus ke hadapan. Keadaan ini dikenali sebagai juling keluar (exotropia), juling masuk (esotropia), juling atas (hypertropia) dan juling bawah (hypotropia).

Menurut Pensyarah Kanan yang juga Pakar Perunding Oftalmologi dengan subkepakaran Pediatrik Oftalmologi dan Strabismus, Profesor Dr. Hajah Shatriah Ismail, masalah mata juling ini berlaku disebabkan ketidakseimbangan antara otot-otot mata yang mengawal pergerakan bola mata.

PENYAKIT MATA JULING DI MALAYSIA KAEDAH RAWATAN DAN CABARAN

"Juling keluar (exotropia) atau masuk (esotropia) adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan antara otot medial rectus dan otot lateral rectus manakala juling atas (hypertropia) dan juling bawah (hypotropia) pula disebabkan oleh ketidakseimbangan otot-otot pergerakan mata seperti inferior rectus, superior rectus, inferior oblique dan superior oblique.

"Masalah mata juling ini boleh berlaku sepanjang masa (constant) atau sekejap-sekejap (intermittent) dan ada yang berlaku secara konsisten pada satu mata sahaja serta ada yang berlaku secara silih berganti (alternating) antara mata kanan dan mata kiri," katanya ketika menyampaikan syarahan umum sempena Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Shatriah yang juga Ketua Jabatan, Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM, berkata, kadar kelaziman masalah mata juling dilaporkan antara 1.7 hingga 5.0 peratus (%) berdasarkan populasi kedudukan geografi dunia.

"Masalah juling horizontal (iaitu exotropia dan esotropia) dilaporkan lebih kerap berlaku berbanding juling vertikal (iaitu hypertropia dan hypotropia).

"Masalah juling boleh berlaku tanpa mengira jantina dan usia serta ia juga boleh berlaku pada kanak-kanak berusia kurang dari satu tahun hingga ke usia dewasa.

"Masalah mata rabun, sejarah keluarga yang mempunyai masalah mata juling, kelahiran pramatang merupakan antara faktor yang berkait rapat berlakunya masalah mata juling," jelasnya lagi.

PENYAKIT MATA JULING DI MALAYSIA KAEDAH RAWATAN DAN CABARAN 1

Shatriah yang merupakan ibu kepada empat cahaya mata turut memberitahu, mata rabun jauh (myopia) pula berkait rapat dengan masalah mata juling keluar (exotropia) dan mata rabun dekat (hypermetropia) berkait rapat dengan masalah mata juling masuk (esotropia).

"Kanak-kanak, remaja dan orang dewasa yang mengalami masalah mata juling turut mengalami masalah kabur penglihatan (sekiranya juling berlaku pada satu mata sahaja) dikenali sebagai mata malas (ambliopia).

"Individu yang mengalami masalah mata juling silih berganti mempunyai kesukaran dalam persepsi 3-dimensi (stereopsis) iaitu menganggar kedalaman ruang (contohnya menuang air ke dalam cawan, menaiki tangga dan kedalaman longkang) serta menggunakan kedua-dua mata serentak seperti menggunakan mikroskop, teropong dan teleskop," ulasnya.

Jelas Shatriah lagi, masalah mata juling perlu dikenal pasti dan dirawat pada peringkat awal iaitu sebelum usia lima (5) tahun disebabkan oleh perkembangan mata/visual perlu selari dengan perkembangan pembesaran otak kanak-kanak.

"Antara jenis rawatan yang diperlukan ialah memakai cermin mata, rawatan menampal (bagi yang mengalami masalah mata malas) dan pembedahan mata juling.

"Sebanyak 80% daripada pesakit yang mengalami masalah mata juling perlu dirawat menggunakan kaedah pembedahan dan pembedahan mata juling diyakini selamat serta dilakukan oleh pakar mata yang terlatih dalam rawatan masalah mata juling (strabismus specialist).

"Dalam kajian yang diterbitkan oleh penyelidik USM, kadar kejayaan pembedahan mata juling untuk kali pertama ialah 81.6% dan kadar peratusan ini setanding dengan data yang diterbitkan oleh negara-negara Asia seperti Thailand, Hong Kong, Korea Selatan dan China," katanya.

PENYAKIT MATA JULING DI MALAYSIA KAEDAH RAWATAN DAN CABARAN 3

Tambah Shatriah, pesakit yang mempunyai sudut juling yang besar (melebihi 50 prism diopter) biasanya perlu menjalani pembedahan mata juling sebanyak dua kali dan perancangan akan dibuat oleh doktor pakar bersama pesakit sebelum pembedahan dilakukan iaitu semasa sesi konsultasi pra-pembedahan.

"Berdasarkan kajian yang diterbitkan oleh USM pada tahun 2020, pesakit yang telah menjalani pembedahan mata juling mempunyai kualiti hidup yang lebih baik berbanding situasi sebelum menjalani pembedahan," ujarnya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 7565