Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PENYERAHAN PERALATAN MAKMAL KESINAMBUNGAN PROGRAM PUSAT KECEMERLANGAN PENDIDIKAN TINGGI (HICOE)

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Disember 2021 – Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima beberapa unit peralatan makmal dan aksesori kesinambungan program Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) dalam bidang diagnostik daripada pihak Biogenes Technologies Sdn. Bhd.

Kerjasama INFORMM dengan syarikat berkenaan hasil termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak pada 5 Julai 2021.

40768d2d 41b8 4861 8ca9 26eb50998722

Ketua Pegawai Eksekutif Biogenes Technologies Sdn. Bhd, Tang Kok Mun, telah membuat penyerahan peralatan dan aksesori bernilai RM66,000 kepada Pengarah INFORMM, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail sambil disaksikan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail dalam Majlis Penyerahan Peralatan Makmal yang berlangsung di Labsuite 2, di sini.

Menurut Pengarah INFORMM, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail, kerjasama dengan Biogenes Technologies telah bermula pada tahun lepas apabila INFORMM menghantar beberapa orang staf serta pelajar bagi menjalani latihan pembangunan aptamer secara ‘in-silico’ dan menganjurkan seminar berkaitan yang dihadiri oleh staf di Kampus Kesihatan.

“Saya percaya kerjasama ini akan menjadi platform untuk meneruskan kesinambungan penyelidikan terutamanya pengembangan projek di bawah program HICoE,” katanya.

Tambah Aziah, dengan menggunakan teknologi dan aplikasi APTSENS ini diharap dapat memudahkan pengguna untuk melakukan pemantauan secara atas talian dengan teknologi ‘Internet of Things’ (IoT).

Sementara itu, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Biogenes Technologies Sdn. Bhd kerana sudi berkerjasama dengan INFORMM dalam  menggerak fungsi makmal APTLAB bagi penyelidikan berkaitan pembangunan makmal dan penyelidikan aptasensor di INFORMM.

“Peralatan ini dijangka mampu memberi impak kepada perkembangan penyelidikan dan latihan ke arah pembangunan aptasensor perubatan di Kampus Kesihatan selain menjadi batu loncatan kepada eksplorasi serta peralihan dunia digital perubatan dengan menyokong keperluan pengesanan pantas penyakit yang lebih efektif,” ujarnya.

Teks: Wan Salizawati Wan Ismail / Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman

  • Created on .
  • Hits: 122