Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PERANCANGAN SEMPURNA STRATEGI CAPAI KEJAYAAN DUNIAWI DAN UKHRAWI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN 24 Julai 2024 - Perancangan yang sempurna ketika melaksanakan tugas merupakan strategi yang harus diguna pakai dalam kehidupan seharian bagi mencapai kejayaan bukan sahaja untuk kesejahteraan duniawi malah ukhrawi.

IMG 20240724 WA0008

Timbalan Dekan Libatsama Industri-Komuniti dan Pembangunan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam berkata, seperti mana peristiwa hijrah Rasullulah SAW, dapat dilihat kejayaan baginda menghimpunkan umat Islam untuk berhijrah dari Kota Mekah ke Madinah dan kejayaan itu adalah hasil kerjasama serta perancangan yang sempurna melalui pasukan.

"Bertepatan dengan tema sambutan Maal Hijrah tahun ini iaitu ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani,’ saya ingin menyeru warga Kampus Kesihatan untuk merenung dan memahami makna sebenar kejayaan dalam konteks yang lebih luas.

IMG 20240724 WA0009

"Seruan ‘Hayya ‘Alal Falah’ yang kita dengar lima (5) kali sehari dalam laungan azan apabila tibanya waktu solat, bukanlah sekadar mengajak manusia untuk mencapai kejayaan daripada sudut 'material' dan dunia semata-mata, namun panggilan itu menyeru kita semua untuk mengejar kemenangan yang sebenar iaitu daripada segi kejayaan rohani dan moral,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah dan Maulidur Rasul 2024/ 1446H Peringkat Kampus Kesihatan USM
di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM, hari ini.

IMG 20240724 WA0010

Wan Hazabbah berkata, konsep terbabit perlu diterapkan dalam diri setiap warga USM dengan menggabungkan nilai-nilai Islam bersumberkan al-Quran dan sunnah bagi mencapai kejayaan sebenar.

Menurutnya lagi, kemahiran berfikir pada era teknologi kini juga perlu lebih kritis dan kreatif bagi mencapai kejayaan dalam setiap sudut agar dapat diseimbangkan dalam segenap aspek kehidupan.

IMG 20240724 WA0011

“Untuk mencapainya, kita perlu menjaga rohani, nyawa, akal, nasab dan harta benda supaya dapat disama ratakan demi kepentingan agama dan rohani," ujarnya lagi.

Majlis hari ini juga turut diisi dengan sesi bual bicara ‘Dakwah Santai, Janji Sampai’ dengan menampilkan dua (2) ahli panel iaitu Pengerusi Persatuan Cina Muslim Kelantan, Dr. Johari Abdullah dan Pakar Kaunseling PPSP USM, Profesor Madya Dr. Mohd Zarawi Mat Nor yang turut menampilkan Ustaz Muhammad Aliff Abdul Latif sebagai moderator.

IMG 20240724 WA0012

Turut diadakan ceramah membina jiwa bertajuk 'Menghidupkan Sunnah dan Menyatukan Ummah’ yang disampaikan oleh Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Dr. Mohd Sukki Othman.

IMG 20240724 WA0007

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Latihan Ikhtisas, PPSP USM, Profesor Dr. Irfan Mohamad; Pengarah, Pusat Islam USM, Ustaz Mohammad Shukri Osman; Timbalan Pengarah, Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, Ustazah Amira Abdul Sattar @ Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Maal Hijrah dan Maulidur Rasul
2024/ 1446H, Profesor Dr. Hamid Jan Jan Muhammad.

Teks: Rosalwani Che Soh@Yusoff/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 218