USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 September 2021 - Perpustakaan Hamdan Tahir (PHT), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), mengorak langkah dengan menawarkan perkhidmatan pinjaman buku secara pandu lalu dan 'Book Pandai' bagi kelangsungan perkhidmatan.
Inisiatif ini bertujuan memudahkan warga kampus khususnya pelajar yang berada di dalam kampus membuat pinjaman buku tanpa perlu datang ke perpustakaan sebagaimana biasa setelah operasi PHT dihadkan ekoran pandemik COVID-19 yang melanda.
Menurut Timbalan Ketua Pustakawan PHT, Radia Banu Jan Mohamad, perkhidmatan ini telah ditawarkan lebih awal namun permohonan kurang memberangsangkan tetapi bermula Jun 2021 perkhidmatan ini mula menjadi pilihan warga kampus.
"Idea dan inisiatif ini tercetus sewaktu perbincangan Matlamat Tahunan Jabatan pada awal tahun 2020 dan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 diumumkan diseluruh negara.
"Idea ini kemudiannya cuba direalisasikan memandangkan pada masa tersebut, ramai pelajar yang mengikuti pembelajaran dan pengajaran di dalam kampus dari desasiswa masing-masing.
"Kita mengguna pakai konsep 'click and collect' sebagaimana syarikat-syarikat perniagaan di luar sana tetapi ditukarkan kepada pesanan dan penghantaran buku", ujarnya.
Radia Banu berkata, bagi perkhidmatan pandu lalu, peminjam hanya perlu mengisi borang permohonan secara atas talian di laman sesawang PHT dan datang mengambil buku di kiosk secara pandu lalu pada keesokan hari manakala bagi 'Book Pandai' pula, setelah permohonan dibuat, staf PHT akan menghantar buku-buku tersebut kepada pemohon di dalam kawasan kampus.
"Buat masa sekarang, pinjaman hanya dibuka untuk buku Koleksi Rak Terbuka sahaja dan saya mengharapkan agar seluruh warga kampus menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan ini dengan sebaik mungkin", jelas beliau lagi.
Sementara itu, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail semasa melancarkan perkhidmatan tersebut berkata, ianya satu kreativiti yang disesuaikan dengan keadaan semasa di mana pelajar memerlukan bahan rujukan tetapi kekangan pandemik COVID-19, membataskan semua aktiviti termasuk pengoperasian PHT.
"Saya berharap perkhidmatan ini menjadi inspirasi kepada jabatan lain untuk turut memikirkan inovasi dan kreativiti dalam menyampaikan perkhidmatan sama ada kepada warga kampus mahupun masyarakat luar yang sentiasa mengharapkan perkhidmatan terbaik daripada kita.
"Besarlah harapan saya agar pelajar-pelajar ijazah pertama mahupun ijazah lanjutan menggunakan peluang ini seoptimum mungkin sebagai sokongan kepada PHT untuk mengembangkan lagi perkhidmatan mereka di samping mencari inisiatif lain untuk kemudahan warga kampus," katanya.
Beliau juga turut melancarkan dua video tatacara perkhidmatan pinjaman buku secara pandu lalu dan 'Book Pandai' sebagai tujuan promosi.
Majlis yang disiarkan menerusi platform 'webex' itu, turut dilayari oleh Ketua Pustakawan USM, Rugayah Ali dari Kampus Induk, Pulau Pinang.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman