Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PERTANDINGAN SUDUT KELESTARIAN SEMARAKKAN BUDAYA LESTARI DI KAMPUS KESIHATAN USM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Julai 2026 – Pertandingan Sudut Kelestarian antara Pusat Tanggungjawab (PTJ) sempena Bulan Kelestarian Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) 2026 bukan sahaja berjaya menyemarakkan budaya kelestarian, malah menjadi platform meningkatkan kesedaran warga kampus terhadap aspek kebersihan, keselamatan dan kesihatan persekitaran.

Dalam pertandingan itu, Jabatan Bendahari dinobatkan sebagai juara, diikuti Jabatan Pendaftar di tempat kedua dan tempat ketiga dimenangi oleh Pusat Pengajian Sains Pergigian.

Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Sudut Kelestarian yang berlangsung di Dewan Persidangan Kampus, Kompleks Pentadbiran, Kampus Kesihatan USM telah disempurnakan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail.

Dalam ucapannya, Shaiful Bahari menegaskan bahawa kelestarian bukan lagi sekadar pilihan atau slogan, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama yang perlu diterapkan dalam setiap aspek pengurusan kampus.

"Amalan lestari bukan hanya tertumpu kepada penghasilan sudut hijau atau landskap yang indah, tetapi turut merangkumi aspek kebersihan persekitaran.

“Selain itu, penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar, pengurusan sisa yang cekap serta usaha mewujudkan kampus yang sihat, selamat dan kondusif juga perlu dititikberat dalam usaha memastikan kelestarian kampus terjaga,” katanya.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap situasi penularan denggi di Kampus Kesihatan USM, khususnya melibatkan kawasan berhampiran desasiswa yang dikenal pasti mempunyai pembiakan jentik-jentik nyamuk Aedes.

Shaiful Bahari turut menyeru semua PTJ agar sentiasa memantau kawasan tempat kerja masing-masing dan memastikan tiada bekas atau lokasi yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

"Kelestarian bukan sekadar mengenai sudut hijau atau keindahan persekitaran semata-mata.

“Kita perlu bersama-sama cakna terhadap aspek kebersihan dan kesihatan dengan memastikan kawasan kampus bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes demi melindungi seluruh warga Kampus Kesihatan USM daripada risiko denggi," uajrnya lagi.

Shaiful Bahari turut menyifatkan Pertandingan Sudut Kelestarian sebagai platform yang mampu mencetuskan idea kreatif, selain memupuk semangat kerjasama serta meningkatkan kesedaran mengenai amalan lestari dalam kalangan warga kampus.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada semua pemenang serta menghargai komitmen semua peserta yang telah menyumbang kepada kejayaan Bulan Kelestarian Kampus Kesihatan USM 2026.

“Saya berharap agar budaya kelestarian akan terus diperkasakan melalui penglibatan aktif seluruh warga kampus agar Kampus Kesihatan USM terus menjadi contoh sebuah institusi yang bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, malah unggul dalam membudayakan amalan kelestarian, kebersihan dan kesejahteraan,” jelasnya.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 243