Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PKRC DI KAMPUS KESIHATAN TANDA KEBERSAMAAN TANGANI COVID-19

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Mei 2021 – Berikutan peningkatan kes COVID-19 yang semakin membimbangkan di Kelantan, kewujudan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) keenam di Dewan Utama, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) diyakini tidak akan menggugat tahap kesihatan lebih 5,000 warga kerjanya.

PKRC 1

Mengulas mengenai perkara tersebut, Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, beliau percaya sebilangan besar warga Kampus Kesihatan kini dalam keresahan kerana bimbang virus COVID-19 akan tersebar dengan adanya PKRC di dalam kawasan kampus.

“Saya mohon semua pihak bertenang kerana kami sangat menitik beratkan aspek kesihatan dan keselamatan semua pihak dan saya yakin risiko jangkitan virus ini tidak akan menular sehingga ke kawasan kerja warga kampus.

PKRC 2

“Kami juga telah memasang kawad berduri di kawasan sekitar PKRC bagi memastikan tiada pencerobohan daripada pihak yang tidak dibenarkan masuk dan semua pesakit akan dipastikan untuk berada di dalam dewan PKRC sahaja serta tidak dibenarkan berkeliaran di kawasan luar dewan kecuali semasa makan dengan pengawasan yang ketat oleh petugas keselamatan,” ujarnya semasa menyampaikan taklimat dalam sesi Town hall Perkembangan Semasa COVID-19 di Kelantan, di sini.

PKRC Kampus Kesihatan merupakan PKRC terbesar setakat ini di Kelantan yang dibuka memandangkan kapasiti di lima lagi pusat sudah hampir penuh. PKRC ini mampu menempatkan 500 pesakit lelaki dari sekitar Kota Bharu serta mana-mana kawasan kluster pada satu-satu masa akan beroperasi bermula minggu ini.

PKRC 3

Dalam sesi Town hall yang sama, turut berkongsi maklumat tentang situasi semasa COVID-19 di Kelantan ialah Penyelaras Bilik Gerakan COVID-19 Kampus Kesihatan, Profesor Madya Dr. Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad serta taklimat tentang Pemberian Vaksin Kepada Warga Kampus Kesihatan : Isu dan Perancangan oleh Timbalan Pengarah Operasi, Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof.

Warga Kampus Kesihatan dan orang ramai diseru untuk membuat Pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menerusi aplikasi MySejahtera kerana peratus pendaftaran rakyat negeri Kelantan masih lagi rendah setakat ini.

PKRC 4

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa Ke-2 telah bermula pada 19 April 2021 seperti yang dijadualkan oleh pihak kerajaan menerusi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Untuk Fasa Ke-2 ini, fasiliti USM turut tersenarai sebagai Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) dan akan beroperasi di Dataran Kelabu & Bilik Tutorial A, Pusat Pengajian Sains Perubatan yang dijangka bermula pada 15 Mei 2021.

Sebagai warganegara Malaysia yang prihatin, sama-sama kita memainkan peranan dan tanggungjawab untuk memastikan graf jangkitan COVID-19 dapat dilandaikan dan pengurangan kes jangkitan harian dapat dikurangkan bagi membolehkan kita kembali menjalani kehidupan harian seperti sebelum ini. Patuhi SOP yang ditetapkan dan sentiasa menjaga jarak fizikal mampu mengelakkan kita daripada dijangkiti.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

  • Created on .
  • Hits: 261