Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PPK HPUSM: WIRA DI SEBALIK TABIR PENJAGAAN PESAKIT

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 November 2025 – “Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) adalah wira yang tidak didendang dalam sistem kesihatan negara,” demikian antara intipati ucapan Pengarah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani, sempena Sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) Peringkat HPUSM 2025 yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM hari ini.

1000198218

Dengan bertemakan ‘Memperkasa Profesion, Memacu Potensi Aspirasi MADANI’, sambutan pada tahun ini memberi penekanan terhadap peranan penting PPK sebagai tonggak sistem penjagaan kesihatan yang berdaya saing, beretika dan berperikemanusiaan.

1000198226

Menurut Ab Rahman Izaini, tema berkenaan membawa makna yang mendalam kerana ia memperkukuh martabat profesion, menggilap potensi kecemerlangan serta menerapkan nilai-nilai Malaysia MADANI seperti ihsan, integriti, kasih sayang dan hormat-menghormati dalam perkhidmatan kesihatan.

1000198230

“PPK ialah petugas paling hampir dengan pesakit yang membantu dalam penjagaan asas, mengurus kebersihan, mengiringi pesakit serta memastikan persekitaran hospital sentiasa selamat dan kondusif.

“Setiap senyuman dan setiap bantuan kecil anda memberi kesan besar terhadap kualiti penjagaan pesakit dan imej hospital,” ujarnya.

1000198224

Beliau turut menekankan keperluan semua PPK untuk terus meningkatkan ilmu, kemahiran dan etika kerja agar seiring dengan cabaran dunia kesihatan masa kini, dengan amanah, ikhlas dan profesionalisme digariskan sebagai tunjang dalam setiap tugasan yang dilaksanakan.

“Pihak pengurusan HPUSM amat menghargai komitmen berterusan dalam memperkukuh pembangunan kompetensi semua PPK melalui latihan, bimbingan dan peluang peningkatan kerjaya supaya setiap individu dapat berkembang mengikut potensi sebenar.

1000198228

“Kecemerlangan perkhidmatan bukan hanya bergantung kepada kepakaran atau teknologi, tetapi turut berpaksikan kepada etika kerja yang tinggi, komunikasi berhemah dan sikap saling menghormati dalam kalangan warga kerja,” jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama, Ab Rahman Izaini turut menekankan aspek kebajikan dan kesejahteraan mental semua PPK sebagai faktor utama dalam memastikan mutu perkhidmatan hospital kekal konsisten.

1000198220

“Pihak pengurusan berjanji akan terus menyediakan persekitaran kerja yang selamat, inklusif dan menyokong agar semua PPK dapat bekerja dengan penuh semangat dan dedikasi serta menjadi tunjang utama bagi memastikan keselamatan pesakit sentiasa terpelihara,” katanya.

Majlis yang diadakan saban tahun dan memasuki tahun ketujuh penganjurannya ini menjadi simbol pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan semua PPK yang menjadi nadi utama dalam misi HPUSM untuk menyembuhkan, menyantuni dan melindungi nyawa pesakit.

1000198222

1000198232

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Pengarah (Operasi) HPUSM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah (Digital) HPUSM, Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar; Timbalan Pengarah (Pentadbiran) HPUSM, Mohd Saberi Mohd Yusoff dan Ketua Jabatan, Jabatan Kejururawatan HPUSM, Norhayati Mohamad

Teks: Rosalwani Che Soh/Foto: Unit Fotografi UKAST

  • Created on .
  • Hits: 215