Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PPSK USM JALIN KERJASAMA PENYELIDIKAN DENGAN POLYLAB BIOTECH SDN BHD

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 November 2025 – Bagi memperkukuh hubungan strategik antara akademia dan industri serta memacu pembangunan produk kesihatan berasaskan bukti saintifik, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) memeterai Perjanjian Geran Penyelidikan (Research Grant Agreement - RGA) bersama Polylab Biotech Sdn Bhd dalam satu majlis yang diadakan di Bilik Persidangan PPSK, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

1000196288

Kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek penyelidikan bertajuk ‘Efficacy and Safety Study of Shape-Tea Formulation for Detoxification, Bowel Health and Weight Regulation’ yang akan dilaksanakan selama dua (2) tahun.

1000196290

Projek ini bertujuan mencipta satu formula detoksifikasi yang berkesan dan selamat bagi membantu menyingkirkan bahan kimia berbahaya daripada tubuh, mengawal berat badan dengan cara yang sihat dan meningkatkan fungsi sistem pencernaan atau usus tanpa memberi kesan sampingan kepada manusia.

1000196282

1000196284

Majlis penandatanganan RGA ini disempurnakan Dekan PPSK, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak mewakili Naib Canselor USM dan Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar PPSK, Profesor Madya Dr. Ahmad Fahmi Lim Abdullah bagi pihak USM manakala Polylab Biotech Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusan, Freddy Eng Tee Chua dan Perunding Perniagaan, Mejar Norazlan Mohd Noor.

1000196274

Menurut Wan Rosli, kerjasama ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara akademia dan industri ke arah pembangunan produk berasaskan bukti saintifik.

“USM amat menghargai kepercayaan dan komitmen yang diberikan oleh Polylab Biotech dalam menjayakan usaha ini.

1000196278

“Ia bukan sahaja membuka peluang penyelidikan baharu kepada penyelidik USM, malah selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 serta perkembangan pesat sains dan teknologi global,” katanya.

Tambah Wan Rosli, inisiatif ini juga menjadi platform perkongsian kepakaran dan inovasi dalam bidang sains kesihatan serta membuka ruang kepada lebih banyak kolaborasi penyelidikan lestari pada masa hadapan.

1000196272

“Aspirasi kerjasama ini ialah untuk membina hubungan strategik yang dinamik antara universiti dan industri melalui perkongsian ilmu, peningkatan keupayaan serta pertukaran kepakaran dalam bidang perubatan.

“Ia turut menekankan kepentingan penggunaan ubat tradisional dan berasaskan herba yang selamat dan berkesan,” jelasnya lagi.

1000196276

Wan Rosli turut berharap agar hasil penyelidikan ini bukan sahaja dapat memperkaya pengetahuan saintifik, malah memberi manfaat langsung kepada masyarakat melalui peningkatan kualiti hidup dan kesihatan secara menyeluruh.

1000196280

Sementara itu, Freddy Chua pula berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan USM dalam menjayakan penyelidikan yang mampu menambah nilai kepada produk kesihatan tempatan.

“Kami percaya produk kami akan dinilai dan disahkan oleh para penyelidik yang berkelayakan serta berpengalaman dalam bidang ini.

1000196286

“Melalui penyelidikan bersama ini, kami berharap dapat memperkukuh keyakinan pelanggan terhadap keberkesanan dan keselamatan produk kami,” katanya.

Freddy turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan USM dan PPSK atas sokongan serta komitmen dalam menjayakan inisiatif ini.

“Terima kasih atas kepimpinan dan kerjasama yang diberikan bagi merealisasikan kolaborasi ini dan saya percaya bahawa usaha ini bukan sekadar satu projek penyelidikan, tetapi satu bentuk kerjasama yang membawa makna dan impak kepada masyarakat,” ujarnya.

1000196292

Turut hadir dalam majlis menandatangani RGA ini ialah Ketua Projek RGA antara Polylab Biotech Sdn Bhd dan USM, Profesor Madya Dr. Sabreena Safuan; Penyelidik Bersama, Dr. Zuraidah Abdullah dan para penyelidik projek berkenaan.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 205