PRIDE: INISIATIF USM DIDIK GOLONGAN OKU AMAL GAYA HIDUP DAN PEMAKANAN SIHAT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 September 2024 - Penjagaan kesihatan diri dan penyediaan makanan yang seimbang terutama bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan amalan yang perlu dititik beratkan bagi menjamin kehidupan yang sihat dan cergas.
Atas dasar itulah, buat pertama kalinya, satu Program Inisiatif ID Efektif (PRIDE) Bersama Pelatih-Pelatih Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PPDK) diadakan di Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.
Program terbabit melibatkan 60 pelatih daripada empat (4) PPDK iaitu PPDK Peringat, Wakaf Bharu, Kadok dan Kubang Kerian yang memfokuskan kepada kecergasan dan pemakanan selain memberi peluang kepada pelatih OKU untuk mengamalkan budaya hidup sihat di samping mewujudkan keyakinan diri.
Pengarah Program PRIDE, Nurul Azuar Hamzah berkata, program itu merupakan kesinambungan Program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin Madani.
"Namun, dalam program ini kita fokus kepada golongan OKU bagi melihat tahap perkembangan golongan ini yang akan dipantau selama tiga (3) bulan.
"Program ini akan menjadi kayu pengukur bagi menilai tahap pelatih PPDK melalui tiga (3) fasa iaitu fasa pertama bagi latihan keyakinan diri, fasa dua (2) iaitu latihan bagi pengamalan gaya hidup sihat dan fasa ketiga ialah mengemas kini dengan pihak PPDK sama ada amalan yang dipratikkan dalam program ini dibuat di PPDK atau sebaliknya.
"Kami berharap agar program ini dapat melatih OKU supaya mempunyai keyakinan diri dan menjadikan amalan hidup sihat dalam kehidupan mereka seiring dengan golongan normal serta mampu setanding dengan pihak terbabit," ujarnya ketika ditemu bual.
Dalam program itu, para pelatih didedahkan kepada dua (2) sesi aktiviti iaitu pada sesi pertama diadakan ceramah kecergasan dan senamrobik manakala pada sesi kedua pula, pelatih turut didedahkan dengan cara penyediaan makanan sihat melalui amalan suku-suku separuh di samping menjalankan latihan amali, menghasilkan nuget ayam sendiri menggunakan bahan-bahan segar yang diadun dan dibuat khas ketika sesi latihan terbabit.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 291