Penolong Penyelaras Operasi Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Kampus Kesihatan, Dr Wan Mohd Nazri Wan Zainon berkata, proses pemberian vaksin di PPV Hospital USM berjalan lancar seperti yang dirancang pada hari pertama.
"Program yang bermula pada jam 9.00 pagi didahului dengan suntikan kepada para petugas sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana petugas adalah individu penting yang bertanggungjawab melaksanakan imunisasi dan berjumpa dengan ramai orang sepanjang tempoh pemberian vaksin.
"Di samping itu, ia juga menjadi penanda aras untuk melihat sistem yang digunapakai beroperasi dengan baik bagi memastikan proses pemberian vaksin berjalan lancar," ujarnya semasa ditemubual, pagi ini.
Menurut Mohd Nazri, pegawai-pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) turut sama membantu memantau keadaan dan setelah semua proses serta aliran pemberian vaksin kepada petugas dapat dilakukan dengan baik, barulah proses suntikan dibuka kepada petugas yang lain dan dimulai dengan Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr Ahmad Sukari Halim.
“Sepanjang satu hari beroperasi, saya berpuashati dengan proses yang bermula dari pendaftaran MySejahtera di pintu masuk, semakan nama penerima suntikan, kebenaran menerima suntikan vaksin, proses suntikan, pengawasan selama 30 minit selepas suntikan serta penyerahan kad suntikan vaksin sangat teratur dan tetap mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), sebagaimana yang disarankan oleh KKM”, jelasnya.
Mohd Nazri yang juga Ketua Perkhidmatan Klinikal Pesakit Luar dan ‘Day Care’ Hospital USM juga berharap mereka yang belum mendapat suntikan vaksin agar tidak gusar kerana mereka yang telah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera akan tetap menerima suntikan.
“Program suntikan bagi dos pertama ini akan berjalan selama lima (5) minggu pada setiap hari Isnin hingga Khamis dan bilangan yang akan terlibat adalah bergantung kepada jadual serta jumlah vaksin yang dibekalkan oleh JKNK," katanya.
Beliau turut menyarankan seluruh warga USM mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin kerana vaksin yang dibekalkan adalah selamat dan telah melalui pelbagai peringkat penyelidikan serta ujian keberkesanan sebelum diluluskan penggunaannya.
“Saya sendiri memilih untuk divaksinasi walaupun mempunyai sejarah kesihatan yang agak berisiko seperti kolesterol, jantung, alahan pada makanan laut tetapi Alhamdulillah saya tidak mengalami apa-apa gejala selepas menerima vaksin dos pertama semalam dan dapat bekerja seperti biasa pada hari ini.
“Mungkin suntikan vaksin ini boleh menjadi tiket kepada kita untuk kembali menikmati kehidupan seperti sebelum ini di mana kita bebas bergerak, bekerja, beriadah setelah hampir setahun setengah bergelumang dengan pandemik COVID-19 dan menjalani kehidupan dengan norma-norma baharu yang nyata sedikit sebanyak menyekat pergerakan kita semua”, ujar beliau lagi.
Rata-rata komen yang diterima daripada staf yang telah mendapatkan suntikan vaksin, sangat berpuashati dengan proses vaksinasi yang beroperasi di Dewan Utama, Kampus Kesihatan. Ini kerana setiap stesen bukan sahaja disediakan papan tanda, malahan penyediaan kerusi yang mencukupi untuk menunggu giliran serta panduan dan tunjuk arah oleh para petugas sangat memudahkan dan ianya mengambil masa yang singkat.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman