Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PROGRAM OUTREACH KRIS PERMUDAHKAN PELAJAR AMBIL VAKSIN

KOTA BHARU, KELANTAN, 7 Oktober 2021 – Pasukan vaksinasi Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Program Outreach KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) meneruskan inisiatif dalam menyokong usaha Kerajaan memberi vaksinasi kepada rakyat Malaysia.

Program gemblengan kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dan USM sendiri adalah sebagai tanda sokongan serta keprihatinan kepada keperluan rakyat dalam menangani penularan COVID-19. 

SAVE 20211007 194743

Timbalan Pengarah Klinikal, Hospital USM, Profesor Madya Dr. Zaidi Zakaria yang ditemui semasa program tersebut berkata, selepas program KRIS yang dilaksanakan di Penjara Pengkalan Chepa dan Pasir Mas, hari ini pasukan vaksinasi Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV), Hospital USM turun ke Sekolah Menengah Ugama (A) Sullamiah, Bunut Payong, Kota Bharu, Kelantan.

"Sebagai sokongan berterusan kepada usaha kerajaan dalam memastikan golongan remaja menerima vaksinasi, pasukan SPPV Hospital USM menyantuni pelajar-pelajar sekolah di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk memudahkan urusan mereka menerima vaksin.

"Bagi pihak Hospital USM, kami sangat berbesar hati menerima pelawaan dari pihak sekolah untuk menjalankan program vaksinasi kepada pelajar dan melihat kepada sambutan serta sokongan ibu bapa ditambah dengan semangat pelajar sendiri yang hadir pada hari ini, saya yakin, mereka telah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menerima vaksin dan seterusnya kembali ke sekolah tanpa rasa risau," ujarnya.

SAVE 20211007 194804

Menurut Zaidi, sebagaimana yang semua maklum, walaupun telah lengkap vaksinasi, risiko dijangkiti COVID-19 tetap ada, tetapi tidak sampai tahap yang teruk dan ada dalam kalangan pesakit yang menghidap penyakit kronik, walaupun dijangkiti COVID-19, mereka tetap dapat bertahan dan kembali sembuh.

"Oleh kerana itu, saya menyeru semua pihak khususnya ibu bapa agar tidak gusar untuk memberi kebenaran anak-anak mereka menerima vaksinasi," katanya lagi.

SAVE 20211007 194751

Sementara itu, Pengetua SMU (A) Sullamiah, Mohamad Zin Deraman berkata, beliau sangat terharu dengan kerjasama dari pihak Hospital USM yang sanggup merealisasikan hasrat sekolah mengadakan program vaksinasi hari ini.

“Saya mewakili seluruh warga SMU (A) Sullamiah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam program ini khususnya pasukan vaksinasi Hospital USM, ibu bapa serta para pelajar yang datang seawal jam 8.30 pagi untuk mendapatkan vaksinasi.

Seramai hampir 100 orang pelajar dan seorang dewasa telah menerima vaksin dos pertama hari ini manakala sebahagian daripada pelajar telah menerima vaksin di PPV lain menerusi pendaftaran di aplikasi MySejahtera sebagai persediaan untuk mereka kembali semula ke sekolah apabila sesi persekolahan dibuka kelak.

"Hal ini menunjukkan bahawa mereka menyokong serta bertanggungjawab bukan sahaja dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan diri sendiri malahan orang sekeliling”, ujar beliau.

Teks:  Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto:  Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 170