Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

PROGRAM ‘SCIENCE FOR SCHOOL’ TARIK MINAT PELAJAR TERHADAP BIDANG SAINS KESIHATAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Jun 2022 – Seiiring revolusi era IR 4.0, pemerkasaan landskap pendidikan negara terutamanya penguasaan bidang sains dan teknologi perlu diterapkan seawal peringkat sekolah dalam usaha melahirkan modal insan yang berdaya maju.  

Dalam gerak kerja ini, peranan dan penglibatan ahli akademik universiti bersama masyarakat khususnya dalam kalangan pelajar dan guru sekolah pastinya dapat membantu meningkatkan kualiti pendidikan negara.  
 
SAVE 20220615 204732
 
Menurut Pengerusi Program Bioperubatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga Pengarah Program ‘PPSK Science for School’, Profesor Madya Dr. Nurul Asma Abdullah, pada tahun ini, Program Bioperubatan, PPSK USM dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan sekali lagi berjaya menganjurkan ‘Science for School Programme’ bertemakan Menginspirasi Saintis Muda di Era COVID-19 untuk memberi pendedahan dan membuka perspektif pelajar sekolah menengah mengenai bidang Sains Kesihatan khususnya berkait endemik COVID-19. 
 
“Pelaksanaan program ini bertepatan dengan visi dan misi PPSK yang komited sebagai sebuah pusat pengajian yang menawarkan kepakaran dalam bidang Sains Kesihatan.  
 
SAVE 20220615 202619
 
“Program yang telah masuk kali kelima penganjuran ini berlangsung secara maya di mana para peserta berpeluang menonton video ceramah dan demonstrasi makmal mengenai topik Sains Kesihatan yang dipilih khusus untuk peserta lebih memahami implikasi penularan wabak COVID-19, demonstrasi anatomi sistem respirasi manusia menggunakan mayat, menyelami dunia mikroorganisma, pemencilan DNA bakteria, serta manusia dan imuniti,” ujarnya. 
 
Nurul Asma berkata, walaupun berlangsung secara maya, aktiviti saintifik sebegini mampu mencetus minat, mendorong pelajar berfikir secara kritis sekaligus mempopularkan bidang sains serta meningkatkan pemahaman para pelajar terhadap disiplin ilmu sebelum mereka melangkah lebih jauh ke menara gading kelak.  
 
SAVE 20220615 202612
 
“Para peserta juga dikehendaki menjawab borang penilaian yang mengandungi soalan-soalan asas sebelum dan selepas ceramah sains untuk menguji tahap penguasaan peserta di samping menilai keberkesanan program yang dianjurkan. 
 
“Analisis statistik terhadap borang tersebut menunjukkan keputusan yang amat signifikan dan memberangsangkan di mana terdapat perbezaan yang ketara bagi tahap penguasaan sains peserta sebelum dan selepas program,” jelasnya lagi.  
 
SAVE 20220615 202603
 
Tambah Nurul Asma, program pada kali ini berakhir dengan jayanya berdasarkan reaksi positif daripada semua peserta yang mengharapkan program bermaklumat sebegini diteruskan pada masa akan datang secara bersemuka untuk mereka benar-benar merasai keseronokan menerokai bidang sains. 
 
Teks: Dr. Wan Ezumi Mohd Fuad / Suntingan: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel
  • Created on .
  • Hits: 133