'PROSTATE RUN' 2026 HPUSM: LANGKAH KECIL, IMPAK BESAR UNTUK KESIHATAN LELAKI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Februari 2026 – Sempena Bulan Kesedaran Kanser yang disambut pada Februari setiap tahun, Unit Urologi, Jabatan Surgeri, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) mengambil inisiatif menganjurkan 'Prostate Run' 2026 pada hari ini.

Program larian ini merupakan kali kedua dianjurkan secara tahunan dan membawa mesej jelas mengenai kepentingan meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan prostat dalam kalangan lelaki.
Seramai 250 peserta menyertai larian tersebut terdiri daripada kaum lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Menurut Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani, penganjuran larian ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan pengamalan gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal, malah berperanan meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kepentingan pemeriksaan awal kesihatan dan peranan keluarga, khususnya wanita, dalam menyokong penjagaan kesihatan lelaki secara menyeluruh.
"Kanser prostat merupakan antara kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki di Malaysia.

"Justeru, usaha meningkatkan kesedaran melalui program seperti 'Prostate Run' amat penting bagi menggalakkan pengesanan awal, mengurangkan risiko komplikasi serta meningkatkan tahap penjagaan kesihatan lelaki.
“Pencegahan dan kesedaran adalah langkah paling berkesan dalam menangani isu kesihatan ini," katanya ketika merasmikan larian tersebut, pagi ini.

Tambah Ab Rahman Izaini, kesihatan lelaki bukan isu individu semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan sokongan keluarga dan masyarakat sekeliling.

"Selain itu, program ini turut memperkukuh peranan HPUSM sebagai peneraju dalam promosi kesihatan lelaki, di samping meningkatkan keterlibatan komuniti melalui pendekatan pencegahan penyakit, pendidikan kesihatan dan pemerkasaan kesejahteraan masyarakat secara berterusan.

“Usaha ini juga mencerminkan peranan USM sebagai sebuah institusi yang bukan sahaja berteraskan kecemerlangan ilmu dan penyelidikan, malah komited dalam membudayakan gaya hidup sihat serta memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui penglibatan aktif bersama masyarakat,” ujarnya lagi.

Beliau turut berharap agar 'Prostate Run' dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang lebih besar, inklusif dan berimpak tinggi, sekali gus menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih sihat, peka dan bertanggungjawab terhadap kesihatan lelaki dengan sokongan aktif daripada wanita dan seluruh ahli keluarga.

“Saya percaya program ini juga dapat memperkasakan budaya bersenam dan penjagaan kesihatan dalam kalangan warga kerja HPUSM, di samping mengeratkan ukhuwah serta meningkatkan mutu perkhidmatan,” jelasnya.


Turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset), Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Ketua Unit, Unit Urologi HPUSM, Dr. Ahmad Faiz Najmuddin Mohd Ghazi dan Pengarah Program 'Prostate Run', Dr. Mohd Za’im Zakaria.
Teks: R. Alia Fazni R. Azmi / Foto: Unit Fotografi UKAST
- Created on .
- Hits: 422