Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

RAI KEPELBAGAIAN DAN PERKUKUH KEHARMONIAN MENERUSI 'CHARITY FUN WALK' OKU DAN KOMUNITI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 April 2025 - 'Charity walk' atau berjalan sambil beramal merujuk kepada konsep melakukan dua aktiviti secara serentak iaitu berjalan atau bergerak sambil melakukan amal kebajikan. Ia menggambarkan usaha untuk menggabungkan aktiviti fizikal dengan tindakan yang memberi manfaat kepada orang lain atau masyarakat.

WhatsApp Image 2025 04 26 at 5.11.27 PM 2

Selari dengan konsep tersebut, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya USM – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (PTOKU USM-MAIK), dengan kerjasama Persatuan Sindrom Down Negeri Kelantan (PSDNK), Jabatan Perubatan Keluarga (JPK), Persatuan Perubatan Keluarga USM (FAMOUS) serta Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) telah menganjurkan program riadah sihat ‘Charity Fun Walk OKU dan Komuniti’ di Kompleks Sukan 2, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

WhatsApp Image 2025 04 26 at 5.11.27 PM 1

Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Profesor Dr. Hamid Jan Jan Mohamed yang mewakili Pengarah Kampus Kesihatan, USM sentiasa komited terhadap golongan OKU dalam memperkasakan mereka demi kelangsungan kehidupan melalui pelbagai inisiatif agar golongan ini tidak lagi dipinggirkan.

“Program ini bertujuan membentuk satu objektif yang positif bukan sahaja kepada golongan biasa malahan kepada golongan oku melalui aktiviti kecergasan fizikal.

WhatsApp Image 2025 04 26 at 5.11.27 PM

“Penganjuran program ini juga mengambil kira peningkatan ketara jumlah pendaftaran OKU di Kelantan, iaitu daripada 50,479 pada tahun 2024 kepada 53,998 sehingga Mac 2025, sekali gus menyerlahkan keperluan untuk memperluas ruang penyertaan dan sokongan kepada golongan ini yang sebelum ini kurang mendapat perhatian,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Tambah Hamid Jan, selain mempromosi gaya hidup sihat, program ini juga bertujuan mengumpul dana bagi menyokong pelbagai program dan inisiatif OKU yang dijalankan oleh PTOKU USM-MAIK dan PSDNK, sejajar dengan usaha mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), terutamanya SDG 3 iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan.

WhatsApp Image 2025 04 26 at 5.11.28 PM

“Selain itu, program ini juga bertujuan menggalakkan penyertaan OKU dalam aktiviti rekreasi, riadah sihat dan sosial serta membina kesedaran tentang kepentingan aktiviti fizikal terhadap tubuh badan dan kesihatan diri.

“Ia juga bertujuan memberi pendedahan dan peluang kepada OKU, ibu bapa, penjaga serta jawatankuasa terlibat untuk berinteraksi dan menjalin hubungan dengan pihak luar, sekaligus memperkukuh jaringan sokongan sosial,” ujarnya lagi.

WhatsApp Image 2025 04 26 at 5.11.28 PM 2

Sementara itu, seorang ibu yang memiliki anak istimewa yang menghidap autisme, Rafizah Abdullah ketika ditemu bual menyatakan beliau membawa anaknya yang menghidap autisme dan sakit jantung itu ke program ini untuk berjumpa secara langsung dengan komuniti daripada pelbagai latar belakang di samping mengenali masyarakat dengan lebih dekat.

“Sepanjang program ini berlangsung, saya memastikan anak saya yang berusia 18 tahun ini menggunakan kerusi roda supaya aktiviti dapat dilakukan dengan baik tanpa sebarang kecederaan dan gangguan.

WhatsApp Image 2025 04 26 at 5.11.29 PM

“Sepanjang mengikuti program ini juga anak saya menunjukkan perubahan sikap yang positif dan gembira berbanding hari-hari biasa.

“Dia kelihatan lebih gembira daripada biasa kerana dikelilingi oleh masyarakat dari pelbagai latar belakang dan suasana yang meriah,” katanya.

WhatsApp Image 2025 04 26 at 5.11.26 PM

WhatsApp Image 2025 04 26 at 5.11.28 PM 1

Bertemakan ‘Walk with Us’, para peserta program ini digalakkan untuk mengenakan pakaian beragam bertemakan flora dan fauna, mengikut kreativiti masing-masing dan inisiatif ini bukan sahaja menjadikan aktiviti lebih ceria dan menyeronokkan, malah memberi ruang kepada ekspresi diri serta penghayatan terhadap alam semula jadi.

WhatsApp Image 2025 04 26 at 5.11.29 PM 1

Dengan penyertaan hampir 500 peserta yang terdiri daripada golongan OKU, komuniti setempat dan warga Kampus Kesihatan, program ini juga menjadi platform inklusif yang memperkukuh semangat kebersamaan dan kesedaran sosial.

WhatsApp Image 2025 04 26 at 5.11.29 PM 2

WhatsApp Image 2025 04 26 at 5.11.30 PM

Turut hadir dalam program ini ialah Ketua PTOKU USM-MAIK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahman.

Teks: Nik Nur Khalisah Umairah Nik Mansur (Pelajar Latihan Industri UiTM)/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 11