RAMADAN: MADRASAH BINA JIWA SABAR DAN INTEGRITI – TNC HEPA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Mac 2026 – “Ramadan merupakan madrasah tarbiah yang mendidik jiwa agar lebih sabar, berdisiplin serta sentiasa bersikap ihsan terhadap orang lain.


“Dalam menahan lapar dan dahaga, kita sebenarnya sedang melatih diri untuk menjadi lebih sabar, lebih mensyukuri nikmat yang dikurniakan dan membina kekuatan dalaman yang membentuk keperibadian insan berintegriti, selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan dan warga kerja yang seimbang dari segi intelektual, emosi dan spiritual,” demikian petikan ucapan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya dalam Majlis Iftar Perdana Naib Canselor Bersama Warga Kampus Kesihatan USM 2026/ 1447 Hijrah, semalam.


Beliau yang mewakili Naib Canselor berkata, majlis berbuka puasa yang diadakan itu bukan sekadar untuk berbuka puasa bersama, tetapi menjadi simbol kesatuan hati dan kebersamaan seluruh warga universiti dalam menghayati nilai Ramadan yang sarat dengan hikmah dan pengajaran.


“Bagi pihak USM, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepada Kampus Kesihatan USM untuk menguruskan Dana Wa’ad Zakat sehingga 50 peratus (%) daripada jumlah kutipan zakat tahunan warga kampus.


“Dana tersebut akan diuruskan melalui Pejabat Zakat, Wakaf dan Infaq (ZAWAIN) Kampus Kesihatan. Amanah ini mencerminkan keyakinan tinggi pihak MAIK terhadap keupayaan universiti dalam memastikan pengurusan zakat dilaksanakan secara telus, berintegriti serta mematuhi prinsip dan garis panduan syariah.


“Inisiatif ini juga membuka ruang yang lebih luas untuk memperkasa kebajikan golongan asnaf dalam kalangan warga kampus, pesakit serta komuniti setempat,” katanya.
Menurut Wan Ahmad Jaafar, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih turut dirakamkan kepada semua pihak yang telah menyumbang dalam menjayakan program-program sepanjang Ramadan ini.


“Sama ada dalam bentuk kewangan, sumbangan juadah berbuka, tenaga mahupun masa yang diperuntukkan, setiap sumbangan amatlah bermakna dan dihargai.


“Sepanjang bulan Ramadan ini, pelbagai program telah dilaksanakan termasuk Solat Sunat Tarawih berjemaah, gotong-royong penyediaan juadah berbuka untuk 800 orang di Masjid Kampus Kesihatan, serta penganjuran jamuan berbuka puasa kepada pelajar, staf dan kariah masjid,” jelasnya lagi.
Tambahnya, usaha kebajikan turut diperluaskan lagi melalui pengagihan makanan berbuka kepada 250 orang peneman pesakit di Hospital Pakar USM (HPUSM), penyediaan sahur kepada pelajar di Desasiswa Murni dan Nurani serta pelaksanaan aktiviti ilmu seperti tazkirah, daurah dan tadarus al-Quran.

“Program qiamullail pada sepuluh malam terakhir Ramadan juga akan dianjurkan bagi mengimarahkan lagi suasana ibadah.
“Program-program ini mencerminkan komitmen USM dalam memupuk budaya universiti yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, tetapi juga subur dengan nilai kemasyarakatan dan kesukarelawanan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Jaafar turut merakamkan penghargaan kepada para pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pasir Tumboh atas penglibatan aktif mereka dalam Program Tanggungjawab Sosial (CSR) khususnya dalam membantu pengagihan juadah berbuka kepada peneman pesakit di HPUSM serta khidmat penyediaan juadah di Masjid Kampus Kesihatan.

“Penglibatan tersebut merupakan pengalaman berharga dalam membentuk generasi muda yang berjiwa prihatin dan bersemangat sukarelawan,” katanya.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada para sukarelawan dalam kalangan staf dan pelajar yang komited menguruskan program berbuka puasa sepanjang Ramadan, termasuk pasukan pengagihan makanan dan sukarelawan kebersihan.

“Majlis seperti ini menjadi wadah penting dalam merapatkan hubungan antara pengurusan universiti dan warga kampus.
Hubungan yang kukuh berasaskan kepercayaan dan kebersamaan merupakan asas kepada kecemerlangan institusi yang mampan,” jelasnya lagi.

Mengakhiri ucapan, Wan Ahmad Jaafar berharap agar semangat Ramadan yang menekankan nilai kesederhanaan, keikhlasan dan kebersamaan dapat menjadi pemangkin kepada budaya kerja yang lebih harmoni, berintegriti serta berorientasikan kecemerlangan.

Dalam majlis yang sama turut berlangsung beberapa penyampaian sumbangan iaitu sumbangan kepada Pelajar Kampus Kesihatan USM, sumbangan kepada Tabung Aktiviti Ramadan Kampus Kesihatan USM dan sumbangan Kit Maidaturrahman.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail; Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dato’ Haji Mohd Anis Hussein; Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani; Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Profesor Dr. Norhayati Luddin; Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Profesor Madya Dr. Aziah Ismail dan ketua-ketua jabatan Kampus Kesihatan USM.
Teks: Marlina Zahari / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 157