'RAMADAN WITH US' INISIATIF PUPUK PERPADUAN WARGA USM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Mac 2025 – Bulan Ramadan bukan sekadar bulan ibadah bagi umat Islam tetapi ia juga mengajar erti kesabaran, persaudaraan serta kepedulian terhadap masyarakat sekeliling.
Penganjuran program ‘Ramadan with Us’ di Masjid Mukim Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) semalam menjadi bukti bahawa keharmonian dan perpaduan boleh diperkukuh melalui pemahaman dan interaksi yang sihat antara semua pihak tanpa mengira latar belakang agama dan budaya.
Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) yang mewakili Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail berkata, pemahaman yang mendalam dapat membina hubungan lebih erat dan memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan warga universiti dan masyarakat sekeliling.
“Program ‘Ramadan with Us’ dilihat sebagai satu platform untuk menghormati kepelbagaian, memahami perbezaan dan memperkukuh jalinan silaturahim dalam masyarakat kita.
“Saya amat berbesar hati melihat penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya warga USM yang terdiri daripada staf dan pelajar bukan Islam dalam program berbuka puasa pada petang ini.
“Kehadiran anda semua menunjukkan keterbukaan untuk mengenali dan memahami keindahan Ramadan serta nilai-nilai Islam yang mengutamakan keamanan dan kasih sayang sejagat,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam program tersebut.
Jelas Aziah, melalui program ini, semua yang hadir dapat merasai sendiri pengalaman berbeza iaitu apa yang telah dilalui oleh umat Islam setiap kali tibanya Ramadan.
“Saya berharap agar semua peserta dapat merasai sendiri pengalaman berpuasa dan berbuka puasa selain mendalami aspek-aspek penting dalam Islam seperti ibadah solat, tatacara dan kelebihan berwuduk, keindahan pemakaian hijab, kitab suci al-Quran serta peranan masjid sebagai pusat komuniti.
“Saya juga berharap dengan pemahaman ini, ia dapat meningkatkan lagi rasa hormat menghormati terhadap kepelbagaian budaya dan memahami setiap perbezaan agama.
“Semoga program ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak lagi inisiatif yang memupuk keharmonian antara kaum dan agama di negara kita,” ujarnya lagi.
Sementara itu, salah seorang peserta yang juga pelajar tahun satu, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Poah Zhi Xian ketika ditemui berkata, program ini amat bermanfaat dan memberikan pengalaman berharga kerana beliau berpeluang mengenali budaya masyarakat lain.
“Kita perlu mengenali dan memahami budaya masyarakat lain supaya dapat melahirkan rasa hormat menghormati antara satu dengan yang lain.
"Dengan pemahaman yang diperoleh ini, ia sedikit sebanyak membantu menjurus kepada kehidupan yang lebih harmoni di antara semua kaum di negara ini," katanya.
Program 'Ramadan with Us' dianjurkan oleh Pusat Islam Kampus Kesihatan USM dengan kerjasama Islamic Outreach ABIM Centre (IOAC) dan Sekretariat Rakan Masjid.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 94