Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

RAWATAN KANSER KEPALA DAN LEHER: REALITI BUKAN SEKADAR HARAPAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Mac 2022 – Kanser kepala dan leher sememangnya kurang popular berbanding kanser paru-paru, payudara, limfoma, leukemia mahupun kanser usus. 

Kanser kepala dan leher juga kurang diberi perhatian walaupun ia merupakan penyakit lazim dan antara kanser kelima tertinggi dihidapi penduduk di negara ini serta Asia Tenggara.

 

06dcac9a-731a-4f75-ae2e-231344f0b0db.jpg

 

Menurut Pensyarah Perubatan, Jabatan Otorinolaringologi – Surgeri Kepala dan Leher, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr. Irfan Mohamad, kanser kepala dan leher biasanya melibatkan kawasan bibir, mulut, lelangit, hidung, farinks, larinks dan telinga serta kawasan kelenjar air liur utama parotid dan submandibular.

“Kanser kepala dan leher merupakan satu ujian bukan sahaja kepada pesakit bahkan kepada ahli keluarga, komuniti dan termasuklah pasukan perawat.

“Faktor risiko terbesar yang sememangnya boleh dicegah ialah amalan merokok dan pengambilan alkohol kerana interaksi kedua-duanya dapat memberikan kesan bersifat sinergistik,” jelasnya semasa menyampaikan syarahan yang bertajuk ‘Rawatan Kanser Kepala dan Leher: Melayarkan Harapan di Gelora Realiti’ dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor, hari ini.

 

e3cbfad6-dcd4-4643-927f-9ed279bdb3b5.jpg

 

Irfan yang juga Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Latihan Ikhtisas, PPSP USM berkata, bagi membantu pesakit yang menghidapinya, strategi rawatan telah diatur mengikut tahap dan kesesuaian individu.

“Walaupun secara amnya, surgeri (pembedahan) merupakan kaedah utama rawatan bagi kanser kepala dan leher kecuali bagi kanser nasofarinks dan larinks yang masih boleh memanfaatkan radioterapi sebagai rawatan utama, namun pemilihan akhir kaedah yang paling sesuai amat bergantung kepada tahap kanser tersebut.

“Selain itu, faktor kesihatan dan kesediaan pesakit itu sendiri amat penting dalam memberi komitmen terhadap proses rawatan yang mungkin perlu dilaluinya seumur hidup,” ujarnya lagi.

 

 

391c18db-b332-4297-a5fe-d5d7f53ba928.jpg

Tambah Irfan, tanda-tanda kanser kepala dan leher ialah bengkak pada leher atau anggota yang terlibat, ulser melebihi dua (2) minggu, pendarahan hidung yang lambat berhenti kecuali ada penyebab seperti trauma, sukar bernafas akibat penyempitan saluran pernafasan, sukar atau sakit semasa menelan, mata kabur atau nampak berbayang, gigi mudah tanggal atau gusi yang membengkak, hidung tersumbat, telinga bernanah dan berdarah, perubahan pada suara, batuk berdarah, juling yang bukan semulajadi atau sejak lahir serta sakit kepala yang berterusan.

“Jika terdapat tanda-tanda ini, pesakit perlu segera berjumpa dengan doktor atau Pakar Otorinolaringologi bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut.

 

b1004f53-553f-419c-b5ee-c32796562716.jpg

“Pencegahan, pengesanan awal, komitmen kepada rawatan dan pemantauan berkala amat penting bagi memastikan kelestarian hidup pesakit yang diuji dengan penyakit kanser ini,” ulas beliau.

Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor merupakan satu medium bagi seseorang profesor mengetengahkan ilmu serta penemuan untuk disebarluaskan kepada masyarakat umum.   

 

735fc77c-f2fa-4770-94f4-a0d5a4ecee4c.jpg

 

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Eksekutif, Ketua Kumpulan Perubatan USAINS, USAINS Tech Services Sdn. Bhd, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim; Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman, Timbalan – timbalan Dekan dan Ketua - ketua Jabatan Kampus Kesihatan USM.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 156