Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

RAYA BERSAMA SAMPEL COVID-19, SITI NUR AISYAH GALAS AMANAH DEMI NEGARA

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Mei 2021 – Setelah sebulan berpuasa, akhirnya hari kemenangan buat umat Islam tiba jua.  Sambutan Aidilfitri kali ini suram bila mana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara diumumkan berkuatkuasa sehari sebelum hari raya bermula pada 12 Mei hingga 7 Jun 2021.

Hati mana tidak hiba, jiwa mana tidak bergelora kerana ini merupakan tahun kedua seluruh negara meraikan hari raya dalam suasana norma baharu dengan hanya berkurung di rumah sendiri.  Tiada lagi amalan berziarah, bersalaman memohon kemaafan dan yang paling menyedihkan tiada lagi istilah ‘balik kampung’.  Sungguh pandemik ini mengubah segala-galanya.

Di saat sebilangan besar rakyat Malaysia menzahirkan keluh-kesah tidak dapat pulang ke kampung beraya bersama keluarga, ada dalam kalangan kita yang ternyata pasrah kerana terpaksa bertugas pada hari raya apatah lagi demi kelangsungan proses ujian pengesahan COVID-19.

SAMPEL COVID 19 1

Bagi Siti Nur Aisyah Mohamad Sham, Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP), beliau akur apabila dijadualkan bertugas pada hari raya pertama untuk melakukan ujian makmal sampel COVID-19 di Makmal Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

“Walaupun terpaksa menyambut hari raya dalam suasana berbeza dengan pematuhan SOP yang ketat, tapi jika masih boleh beraya di rumah, itu sudah memadai.  Saya di sini, bersama rakan-rakan setugas menyambut lebaran di dalam makmal dengan sampel-sampel ujian calitan COVID-19 yang perlu kami jalankan ujian pengesahan sama ada ianya positif atau negatif.

“Kami dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu satu kumpulan akan membuat melakukan ujian Antigen Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) COVID-19, kumpulan kedua melakukan ujian Real-Time Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) COVID-19 manakala kumpulan ketiga melakukan ujian-ujian rutin makmal untuk pesakit-pesakit termasuk para pesakit COVID-19 Hospital USM dan kami turut dibantu oleh dua petugas Pembantu Makmal di bahagian kaunter penerimaan spesimen”, ujarnya.

SAMPEL COVID 19 2

Menurut Aisyah, tempoh ujian bagi sampel RTK-Ag mengambil masa sekurang-kurangnya satu ke tiga (3) jam bermula penghantaran sampel dari wad dan proses ujian ini lebih ringkas berbanding RT-PCR. 

“Bagi ujian RT-PCR, sampel perlu menjalani dua peringkat proses ujian pengekstrakan terlebih dahulu sebanyak dua peringkat.  Pada peringkat pertama, pengekstrakan asid nukleik daripada dalam virus perlu dilakukan terlebih dahulu dengan menggunakan kaedah manual atau mesin ‘Automatic Extracter’ dan pada peringkat kedua pula baru lah ujian RT-PCR dilakukan melibatkan kaedah dikenali sebagai ‘Amplification And Detection’ asid nukleik virus dengan menggunakan mesin ABI 7500 atau Bio-Rad.”  

“Selepas proses pengekstrakan, barulah ujian RT-PCR dijalankan dan masa yang diambil untuk ujian RT-PCR bergantung kepada jumlah sampel yang mana kebiasaannya mencapai sehingga enam (6) jam untuk setiap keseluruhan ujian disiapkan,” jelasnya lagi.

Aisyah yang dilantik sebagai JTMP pada 1 November 2020 dan terus ditugaskan untuk menjalankan pengujian sampel COVID-19 pada mulanya agak takut kerana masih baharu bertugas apatah lagi bila memikirkan virus tersebut sangat mudah merebak. Namun, beliau tetap teruja kerana diberi kepercayaan untuk menjalankan ujian bagi kedua-dua sampel calitan RT-PCR serta RTK-Ag. 

Sebagai seorang rakyat Malaysia yang prihatin dan bertanggungjawab, beliau menyeru kepada semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing dalam memutuskan rantaian penularan COVID-19 kerana ia bukan virus biasa, jumlah kes yang meningkat saban hari bukan rekaan sebagaimana yang ditularkan. 

“Kami petugas makmal adalah saksi komitmen petugas kesihatan di lapangan saringan serta pengesanan kontak dengan jumlah sampel yang diberikan kepada kami untuk diuji”, ujar beliau lanjut.

SAMPEL COVID 19 3

Untuk rekod, Makmal Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) yang mempunyai fasiliti setanding Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dipilih dalam kalangan sepuluh makmal kendalian universiti awam di Malaysia untuk menjalankan ujian pengesahan COVID-19.  Selain daripada melakukan ujian makmal sampel calitan dalaman, Makmal Mikrobiologi & Parasitologi Perubatan juga menjalankan ujian ke atas sampel calitan untuk hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan klinik swasta yang menyediakan perkhidmatan ujian calitan atau ‘swab test’.

Teks:  Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto:  Mohd Nadzri Abu Yazid

  • Created on .
  • Hits: 124