Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

REHAB DAY 2025 TONJOL PERANAN REHABILITASI DALAM PENJAGAAN KESIHATAN MODEN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 Jun 2025 – "Bidang pemulihan perubatan atau rehabilitasi kini memainkan peranan yang semakin penting dalam sistem penjagaan kesihatan moden.

1000149575

"Ia bukan sekadar proses rawatan, tetapi satu perjalanan ke arah kehidupan yang lebih berkualiti, khususnya bagi mereka yang mengalami kecederaan, penyakit kronik atau ketidakupayaan," demikian petikan ucapan Pengarah Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail.

1000149571

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program 'Rehab Day' 2025 anjuran Unit Perubatan Pemulihan, Hospital Pakar USM (HPUSM) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan yang berlangsung meriah di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

1000149569

Menurutnya, rehabilitasi hari ini bukan lagi bersifat sampingan, sebaliknya menjadi komponen penting dalam rawatan menyeluruh yang memerlukan pendekatan bersepadu.

1000149573

"Sebagai institusi pendidikan dan penyelidikan, USM komited menyokong inisiatif yang menyumbang kepada pembangunan kesihatan awam secara menyeluruh dan holistik," katanya.

1000149577

Tambah Shaiful Bahari, penganjuran program seperti ini mencerminkan kesungguhan pihak penganjur dalam menyebarluas kesedaran masyarakat terhadap kepentingan rehabilitasi, di samping menyemai nilai kolaboratif antara pesakit, keluarga dan komuniti.

1000149579

Shaiful turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga HPUSM, khususnya Unit Perubatan Pemulihan serta jawatankuasa pelaksana atas komitmen dan usaha menjayakan program tahunan tersebut.

1000149581

“Semoga 'Rehab Day' terus menjadi acara tahunan yang memberi impak positif kepada masyarakat,” ujarnya.

1000149583

Salah seorang peserta, Nurul Atiqah Abd Rahim berkata, beliau teruja menyertai 'Fun Walk' kerana berpeluang membawa anak sulungnya, Aisyah Humaira Abdul Fattah, yang berusia setahun lima bulan, turut serta dalam acara tersebut.

1000149585

"Acara seperti ini wajar dianjurkan sebagai aktiviti riadah yang dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan pada hari cuti,” katanya.

1000149589

Dalam pada itu, suasana bertambah meriah apabila sekumpulan tujuh beradik turut kelihatan teruja menyertai acara berjalan kaki sejauh tiga kilometer.

1000149587

Salah seorang daripada mereka, Raiyan Aqil Rosdi, 15, berkata mereka sekeluarga bangun seawal jam 6 pagi dan bergegas ke USM untuk menyertai program tersebut.

1000149591

“Selesai solat subuh kami terus datang ke USM, Kubang Kerian.

"Kami semua gembira apabila tiba di garisan penamat dan berpeluang berkumpul dalam suasana penuh keceriaan dan berharap agar dapat menyertai lagi program seperti ini pada masa akan datang,” katanya.

1000149593

Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Penyelaras Unit Perubatan Pemulihan HPUSM; Profesor Madya Dr. Muhammad Hafiz Hanafi dan Pengerusi 'Rehab Day' 2025, Wan Muhammad Farid Wan Daud.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 71