USM KUBANG KERIAN, 17 Mac 2022 - Bersukan dan bersenam memang aktiviti yang sangat digalakkan bukan untuk golongan dewasa sahaja tetapi juga golongan kanak-kanak dan remaja.
Namun, dewasa ini, amat sedikit kita melihat masyarakat sama ada dewasa apalagi kanak-kanak dan remaja yang membudayakan sukan dan senaman sebagai gaya hidup.

Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim, pelbagai faktor penghalang dikenalpasti menjadi punca golongan kanak-kanak dan remaja tidak minat untuk bersukan.
"Daripada kajian yang dibuat, tahap penglibatan sukan dan senaman dalam masyarakat di negara kita adalah rendah dan data tersebut turut menunjukkan trend menurun dalam kalangan kanak-kanak serta remaja khususnya di peringkat umur 13 dan 14 tahun.
"Antara faktor yang menghalang kanak-kanak dan remaja menjadikan sukan sebagai tabiat adalah kerana tidak berminat, tidak ada kawan, tiada masa, tiada duit, tidak mendapat sokongan ibu bapa dan sebagainya yang boleh membantut kesungguhan mereka untuk bersukan," katanya.

Hairul yang juga Pensyarah Program Sains Senaman dan Sukan PPSK turut menegaskan bahawa aktif dalam sukan membantu seseorang kanak-kanak dan remaja lebih cerdas dan berjaya dalam bidang akademik.
"Ramai dalam kalangan ibu bapa gusar sekiranya anak-anak mereka terlalu aktif bersukan kerana pada anggapan mereka, ia boleh menyebabkan anak mereka tercicir dalam pelajaran, sedangkan pemikiran sedemikian adalah tidak benar sama sekali.
"Tabiat bersukan dan senaman yang tinggi dapat mengurangkan kesan tekanan malah mampu meningkatkan prestasi akademik dalam kalangan pelajar kerana kebaikan bersukan merangkumi aspek menyeluruh dalam seseorang individu termasuk fizikal, sosial, psikologikal dan juga intelektual," jelasnya lagi.

Tambah Hairul, tabiat terbentuk daripada satu perbuatan yang dilakukan berulang-ulang sehingga menjadi kebiasaan termasuklah dalam melakukan aktiviti sukan dan senaman.
"Selain itu, psikologi juga turut memainkan fungsi yang sangat penting bagi menggalakkan penglibatan individu dan masyarakat dalam aktiviti senaman dan sukan termasuk aspek prestasi sukan individu yang terlibat dalam sukan kompetitif.

"Mereka yang menjadikan sukan dan senaman sebagai tabiat dan rutin dalam jadual harian mereka dapat mengelak gejala kemurungan, kebimbangan dan tekanan di samping mampu mengelakkan penyakit," ujar beliau semasa menyampaikan pembentangan dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang diadakan di Dewan Kuliah C, hari ini.
Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor merupakan satu medium sesorang Profesor yang pakar dalam sesuatu bidang mengetengahkan ilmu serta penemuan untuk disebarluas kepada masyarakat umum.

Majlis tersebut turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook USM Kampus Kesihatan.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman