SAJIAN MAKANAN PESAKIT HOSPITAL USM HALAL DAN DIYAKINI
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Oktober 2020 - Unit Pemakanan Dan Dietetik, Hospital Universiti Sains Malysia (USM) menerima Sijil Pengesahan Halal Makanan dalam majlis ringkas yang diadakan di Pejabat Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, hari ini.
Menurut Pengarah Kampus merangkap Pengarah Hospital USM, Profesor Dato' Dr Ahmad Sukari Halim, ini merupakan satu kejayaan kepada Hospital USM dalam memastikan penyediaan makanan pesakit mengikut kriteria diet sihat, halal, suci dan selamat.
"Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada Unit Pemakanan Dan Dietetik, Unit Sistem Pengurusan Hospital serta Unit Pematuhan Dan Pengurusan Risiko yang telah bertungkus-lumus berusaha mendapatkan pengiktirafan ini.
"Saya mengharapkan ini sebagai satu langkah buat kita dalam meneruskan segala perancangan kerana banyak lagi unit-unit yang perlu diberi perhatian untuk kita mencapai status hospital patuh syariah," ujarnya.
Sukari turut mengharapkan kerjasama dari seluruh warga Hospital USM agar taraf hospital patuh syariah dapat dicapai dalam masa terdekat.
Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Operasi), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Dr Hasnan Haji Ramli kepada Pengarah Hospital USM. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Panel Penasihat Patuh Syariah Hospital USM.
Untuk rekod, Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang diterima berkuatkuasa selama dua tahun bermula 16 Ogos 2020 hingga 15 Ogos 2022 setelah disahkan mematuhi hukum syarak dan standard halal Malaysia yang telah diperakukan oleh Panel Pengesahan Halal JAHEAIK.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 202