SAMBUTAN MAAL HIJRAH SUNTIK SEMANGAT HIJRAH DAN PERKUKUH NILAI INTEGRITI WARGA KAMPUS KESIHATAN USM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Julai 2026 – Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi platform menyemarakkan semangat hijrah dalam kalangan warga kampus dengan menekankan kepentingan perubahan ke arah kecemerlangan, integriti serta budaya kerja yang berteraskan nilai-nilai Islam.

Sambutan Maal Hijrah yang berlangsung di Auditorium Blok Pentadbiran, Hospital Pakar USM (HPUSM) itu dirasmikan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, hijrah bukan sekadar memperingati permulaan tahun baharu dalam takwim Islam, malah merupakan detik muhasabah untuk setiap individu menilai kembali perjalanan kehidupan, memperbaharui azam serta memperkukuhkan iltizam dalam melaksanakan amanah sebagai hamba Allah SWT dan khalifah di muka bumi.

"Semangat hijrah perlu terus dihayati dalam kehidupan kita hari ini kerana hijrah bukan hanya berlaku sekali dalam sejarah, sebaliknya merupakan proses pembaharuan yang perlu sentiasa berlaku dalam diri setiap individu.
“Kita perlu berhijrah daripada kelemahan kepada kekuatan, daripada sikap sambil lewa kepada budaya kerja yang cemerlang, daripada rasa selesa kepada semangat untuk terus belajar, berinovasi dan memperbaiki diri," katanya.

Menurut Shaiful Bahari, sebagai sebuah institusi yang menerajui pendidikan, penyelidikan, perkhidmatan kesihatan dan khidmat kepada masyarakat, Kampus Kesihatan USM memerlukan warga kerja yang sentiasa bersedia melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.
"Hijrah yang kita perjuangkan hari ini ialah hijrah minda, hijrah sikap, hijrah integriti dan hijrah budaya kerja agar setiap tindakan yang kita lakukan mampu memberi impak yang besar kepada universiti, masyarakat dan negara," ujarnya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap warga Kampus Kesihatan USM memainkan peranan yang saling melengkapi dalam memastikan kecemerlangan universiti terus diperkasakan.
"Sama ada tuan puan merupakan pensyarah yang mendidik bakal doktor, doktor yang merawat pesakit, jururawat yang menyantuni mereka dengan penuh ihsan, penyelidik yang menghasilkan inovasi mahupun staf pentadbiran dan sokongan yang memastikan seluruh sistem berjalan lancar, semuanya memainkan peranan yang saling melengkapi.

“Tiada satu pun peranan yang kecil, kerana setiap sumbangan menjadi asas kepada kecemerlangan Kampus Kesihatan USM," jelasnya.
Shaiful Bahari berkata, kecemerlangan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian organisasi, malah turut dinilai melalui nilai amanah dan ihsan dalam melaksanakan tanggungjawab.

"Apabila seorang pesakit kembali sembuh hasil rawatan yang diberikan, apabila seorang pelajar berjaya menjadi doktor yang berintegriti hasil didikan kita, apabila penyelidikan yang dijalankan memberi manfaat kepada masyarakat, maka di situlah letaknya nilai sebenar pekerjaan kita.
“Prestasi kerja yang cemerlang bukan hanya diukur melalui pencapaian organisasi, tetapi juga menjadi manifestasi keimanan, amanah dan ihsan yang kita pegang dalam melaksanakan tanggungjawab,"katanya lagi.


Sementara itu, sambutan Maal Hijrah pada tahun ini turut diisi dengan persembahan nasyid serta Forum Maal Hijrah yang menampilkan dua tokoh ilmuwan terkenal, iaitu Datuk Dr. Harlina Halizah Haji Siraj @ Haji Ramli dan Ustaz Muhammad Syaari Ab. Rahman, yang berkongsi pandangan mengenai penghayatan hijrah dalam kehidupan dan kerjaya.
Dalam pada itu, beberapa program susulan turut dirancang bagi menyemarakkan lagi sambutan Maal Hijrah, antaranya aktiviti gotong-royong memasak lapan (8) kawah Bubur Asyura yang akan diadakan pada 19 Julai nanti di Masjid Kampus Kesihatan USM, diikuti program Hijrah Merdeka Walk pada 20 Ogos nanti yang bertujuan memupuk semangat patriotisme, gaya hidup sihat serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan warga kampus.
Mengakhiri ucapannya, Shaiful Bahari turut menyeru seluruh warga Kampus Kesihatan USM agar menjadikan kedatangan tahun baharu hijrah sebagai titik permulaan kepada perubahan yang lebih bermakna dengan terus memperkukuh integriti, profesionalisme, nilai kemanusiaan serta komitmen dalam menyumbang kepada kecemerlangan universiti dan kesejahteraan masyarakat.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani@ Ab Ghani; Dekan, Pusat Pengajian Sains Pergigian USM, Profesor Dr. Norhayati Luddin; Pengarah, Institut Penyelidikan Perubatan Molekul, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail; Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa), Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Irfan Mohamad; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti), Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Profesor Dr. Hamid Jan Jan Mohamed dan Ketua-Ketua Jabatan Kampus Kesihatan USM.
Teks: R. Alia Fazni R. Azmi/ Foto: Unit Fotografi UKAST
- Created on .
- Hits: 245