RANTAU PANJANG, KELANTAN, 14 Mac 2022 - Seramai 80 orang sukarelawan yang terdiri daripada staf dan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Induk dan Kampus Kesihatan telah menyertai Misi Pasca Banjir Pantai Timur di daerah Rantau Panjang, hari ini.
Program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM yang berlangsung selama dua hari ini menumpukan negeri-negeri terkesan banjir gelombang ketiga yang melanda negara baru - baru ini.

Menurut Ketua Sukarelawan yang menyertai misi tersebut, Nur Farisha Azwani Md Muslimi, program pada kali ini memfokuskan kerja-kerja pembersihan di dua buah sekolah yang terjejas banjir bagi membantu pihak sekolah membuat persediaan memulakan sesi persekolahan pada 21 Mac 2022 ini.
“Sekolah yang terlibat dengan program ini ialah Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang. Program ini turut mendapat kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rantau Panjang dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut.

“Kami membahagikan tugasan sukarelawan mengikut kumpulan iaitu pelajar USM Kampus Induk membersihkan Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh manakala pelajar Kampus Kesihatan pula membersihkan Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang,” jelasnya.
Tambah Nur Farisha, proses pembersihan berjalan lancar dan para sukarelawan dapat melihat sendiri bilik darjah dan peralatan seperti meja serta kerusi mengalami kerosakan akibat dicemari lumpur banjir.

“Bagi sukarelawan yang menyertai misi ini, pengalaman yang sangat bernilai kami peroleh sepanjang menyertainya ialah belajar untuk menghapuskan sikap pentingkan diri sendiri agar minda lebih terbuka untuk membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya lagi.
Sementara itu, menurut Timbalan Pendaftar BHEPA Kampus Kesihatan USM, Hafiz Assad Zakaria, program ini merupakan simbolik kebersamaan dan keserakanan sesama pelajar.

"BHEPA sentiasa dan akan terus mempromosikan aktiviti-aktiviti luar skop akademik yang secara tidak langsung menyediakan pelajar sebagai bakal graduan yang serba lengkap," katanya.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Dr. Azlinda Azman dan barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM.
Teks: Mohamad Iqmal Mathlan / Foto: Suha Eza Ibrahim